GEORGE TOWN– Universiti Sains Malaysia (USM) menyambut baik cadangan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk memperbaharui kerangka perundangan pendidikan tinggi negara termasuk kemungkinan memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) dan menggantikannya dengan akta baharu yang lebih komprehensif.
Naib Canselor USM Profesor Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Mohamed berkata pembentukan kerangka perundangan baharu itu selaras dengan agenda One Higher Education Act yang digariskan menerusi Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035.
Beliau berkata langkah berkenaan wajar dilihat sebagai usaha memperkukuh sistem pendidikan tinggi agar lebih progresif, khususnya dalam memperluas autonomi universiti, kebebasan akademik serta ruang kepada mahasiswa untuk bersuara dan memainkan peranan dalam kepimpinan.
“Yang lebih penting bukanlah sama ada nama AUKU dikekalkan atau dimansuhkan, tetapi bagaimana undang-undang baharu itu akan dibentuk dan apakah prinsip yang akan mendasarinya.
“USM yakin akta baharu tersebut akan digubal melalui proses konsultasi yang inklusif dengan mahasiswa, kepimpinan universiti, ahli akademik, ahli legislatif, pakar perundangan dan pihak berkepentingan lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Abdul Rahman, AUKU yang diperkenalkan pada 1971 telah melalui lapan kali pindaan di Parlimen sebagai usaha menyesuaikan perundangan pendidikan tinggi dengan perkembangan semasa.
Bagaimanapun, katanya, hakikat bahawa masih wujud pandangan AUKU bersifat mengawal walaupun telah melalui beberapa pindaan menunjukkan terdapat aspek yang masih belum sepenuhnya memenuhi kebimbangan serta aspirasi generasi mahasiswa masa kini.
Sehubungan itu, beliau berkata USM berpandangan tiada salahnya untuk kerajaan menilai semula keseluruhan kerangka AUKU, termasuk mempertimbangkan pemansuhan dan penggubalan undang-undang baharu sekiranya pendekatan itu mampu menghasilkan sistem pendidikan tinggi yang lebih baik serta mendapat keyakinan semua pihak berkepentingan.
“USM berharap kerangka perundangan baharu yang bakal dibentuk nanti dapat mencapai keseimbangan antara memberikan ruang yang lebih luas kepada autonomi universiti, kebebasan akademik dan suara mahasiswa, dengan keperluan untuk terus memelihara tadbir urus, akauntabiliti, integriti dan kecemerlangan institusi pendidikan tinggi,” katanya.
Beliau berkata proses penggubalan kerangka baharu itu juga perlu dilaksanakan secara menyeluruh dan inklusif dengan mengambil kira pandangan semua pihak berkepentingan, khususnya mahasiswa, selaras dengan penegasan Menteri Pendidikan Tinggi Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir.
Abdul Rahman berkata pembaharuan berkenaan sewajarnya tidak dilihat semata-mata sebagai usaha memansuhkan sebuah akta, sebaliknya menjadi landasan untuk membentuk kerangka pendidikan tinggi yang lebih menyeluruh dan mampu memperkukuh autonomi institusi, kebebasan akademik serta suara mahasiswa.
Pada masa sama, katanya, prinsip tadbir urus, akauntabiliti dan kecemerlangan institusi pendidikan tinggi perlu terus dipelihara bagi memastikan sistem pendidikan tinggi negara berkembang secara seimbang selaras dengan aspirasi kerajaan dan hala tuju KPT.
Photo credit: Berita Harian


Leave a Reply