oleh Ahmad Muaz Mahzair
ARAU– Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis menyediakan tujuh unit Dapur Siswa MADANI bagi membantu mahasiswa mengurangkan perbelanjaan makanan susulan peningkatan kos sara hidup.
Kemudahan itu membolehkan mahasiswa menyediakan makanan sendiri dengan lebih menjimatkan, sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap pembelian makanan di luar kampus.
Perasmian tujuh unit kemudahan itu disempurnakan Ahli Lembaga Pengarah UiTM Datuk Dr. Fathul Bari Mat Jahya dalam majlis di Kolej Kediaman Dahlia 3, UiTM Cawangan Perlis.
Beliau berkata penyediaan Dapur Siswa MADANI bukan sekadar menyediakan kemudahan memasak, sebaliknya mencerminkan keprihatinan kerajaan dan universiti dalam memastikan keterjaminan makanan mahasiswa terus terpelihara.
“Dapur Siswa MADANI bukan sekadar kemudahan memasak, tetapi manifestasi keprihatinan kerajaan dan universiti dalam memastikan keterjaminan makanan mahasiswa terus terpelihara, sekali gus membolehkan mereka memberikan tumpuan kepada pengajian tanpa terlalu dibebani tekanan kewangan,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UiTM Prof Dr. Mohd Sazili Shahibi berkata inisiatif berkenaan turut melengkapi agenda Transformasi Mahasiswa UiTM (TAMU) yang menitikberatkan kesejahteraan dan kebajikan pelajar secara menyeluruh.
“Keutamaan HEP bukan sekadar menyediakan kemudahan, tetapi memastikan setiap inisiatif benar-benar membantu kehidupan mahasiswa, khususnya mereka yang berdepan kekangan kewangan, agar tiada pelajar terpinggir daripada peluang untuk berjaya dalam pengajian,” katanya.
Inisiatif Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) itu turut bertujuan memperkukuh kebajikan mahasiswa, khususnya dalam menangani cabaran keterjaminan makanan dan peningkatan perbelanjaan harian di institusi pendidikan tinggi.
Selain membantu mengurangkan kos pemakanan, kemudahan berkenaan juga berpotensi memupuk budaya berjimat cermat, pengurusan kewangan berhemah dan semangat kebersamaan dalam kalangan penghuni kolej kediaman.
Majlis itu turut dihadiri Menjalankan Fungsi Rektor UiTM Cawangan Perlis Prof Madya Dr. Ahmad Nizan Mat Noor bersama barisan Jawatankuasa Eksekutif universiti.
Hadir sama Pengarah Pusat Residensi dan Hospitaliti Pelajar Ikhwana Misnan, Pengarah Institut Kepimpinan Pelajar merangkap mantan Pengerusi Majlis Pengetua Kolej Kediaman UiTM Dr. Firdaus Mohamad serta Penolong Pendaftar Unit Residensi dan Hospitaliti Pelajar Ahmad Muaz Mahzair.


Leave a Reply