Oleh Ikhwana Misnan
SENDAYAN – Universiti Teknologi MARA (UiTM) memperkukuh agenda transformasi pengurusan kolej kediaman menerusi penggarapan Lima Pilar Penyelesaian Tuntas sebagai hala tuju strategik meningkatkan kecekapan operasi, keselamatan, kebajikan dan kualiti perkhidmatan residensi menjelang 2030.
Inisiatif tersebut menjadi fokus utama Mesyuarat dan Konvensyen Residensi UiTM (KRU) 2026 yang menghimpunkan 130 pemimpin serta penggerak pengurusan kolej kediaman dari seluruh sistem UiTM selama tiga hari dua malam di Institut Kepimpinan dan Pembangunan (ILD), Sendayan, Negeri Sembilan.
Bertemakan “Residensi Lestari, Pemacu Kualiti Perkhidmatan”, konvensyen anjuran Pusat Residensi dan Hospitaliti Pelajar (PRHP) dengan kerjasama ILD itu menjadi platform strategik menangani cabaran pengurusan residensi dalam ekosistem universiti yang merangkumi lebih 180,000 mahasiswa di 34 kampus seluruh negara.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UiTM, Prof Dr. Mohd Sazili Shahibi menegaskan bahawa kolej kediaman perlu ditransformasikan daripada sekadar penyedia kemudahan penginapan kepada ekosistem pembangunan mahasiswa yang berupaya membentuk sahsiah, kematangan emosi, kepimpinan dan kemahiran insaniah.
Menurut beliau, perubahan landskap pendidikan tinggi, peningkatan ekspektasi generasi digital, infrastruktur yang semakin berusia serta cabaran kesejahteraan mental mahasiswa menuntut pendekatan pengurusan residensi yang lebih progresif, responsif dan berorientasikan penyelesaian.
“Kolej kediaman bukan sekadar tempat mahasiswa bermalam, tetapi ruang pembentukan karakter, kepimpinan dan jati diri. Transformasi residensi perlu diterjemahkan melalui penyelesaian tuntas yang memberi impak langsung kepada kesejahteraan mahasiswa dan kecemerlangan universiti,” katanya ketika menyampaikan ucaptama konvensyen.
Sehubungan itu, beliau menggariskan Lima Pilar Penyelesaian Tuntas yang merangkumi kelestarian perkhidmatan dan kebajikan mahasiswa, pengoptimuman ruang penginapan, pengauditan kualiti secara berterusan, pemerkasaan pengurusan risiko dan krisis serta pengukuhan sinergi warga kerja residensi.
Pelaksanaan pilar berkenaan memberi penekanan kepada audit penggunaan ruang, penaiktarafan infrastruktur usang, penerokaan kemudahan penginapan luar kampus, pematuhan piawaian keselamatan serta penyelarasan bantuan dan pengurangan bayaran kolej bagi mahasiswa yang berdepan kekangan sosioekonomi.
Pengarah PRHP UiTM, Ikhwana Misnan berkata, konvensyen kali ini dirangka berasaskan cabaran sebenar operasi residensi dengan menggabungkan kepakaran pelbagai pusat tanggungjawab universiti bagi menghasilkan penyelesaian yang lebih menyeluruh dan praktikal.
Antara pengisian utama termasuk pemantapan audit kualiti bersama Institut Kualiti dan Pengembangan Ilmu (InQKA), pengoptimuman ruang bersama Jabatan Pembangunan, pengurusan risiko bersama Pusat Pengurusan Risiko UiTM serta penyelarasan mekanisme pengecualian dan pengurangan bayaran kolej kediaman.
Konvensyen turut memperkukuh kompetensi pengurusan menerusi latihan pengendalian mahasiswa bukan residen (NR), pengurusan acara, pengurusan perabot sewaan, pemantapan kerjasama pasukan serta penerokaan inovasi perkhidmatan residensi.
Dalam majlis makan malam dan perasmian bertemakan Black Gold pada 18 November, Mohd Sazili turut menyempurnakan penyampaian cenderahati penghargaan kepada pesara warga residensi sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan dan khidmat bakti mereka kepada universiti.
Sementara itu, Pengarah Pentadbiran ILD UiTM, Che Wan Kamarul Hishysam Che Wan Ahmad ketika menyempurnakan penutupan konvensyen menyeru seluruh delegasi memastikan resolusi yang dirumuskan tidak terhenti sebagai dokumen perancangan, sebaliknya diterjemahkan kepada penambahbaikan perkhidmatan di kampus masing-masing.
Penganjuran KRU 2026 memperlihatkan komitmen berterusan UiTM untuk menjadikan pengurusan residensi sebagai komponen strategik dalam memperkasa pengalaman kehidupan kampus, memperkukuh kesejahteraan mahasiswa dan membangunkan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif, inklusif serta lestari menjelang 2030.


Leave a Reply