oleh Editorial KampusKini
KOTA SAMARAHAN – Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) menerusi Fakulti Pendidikan, Bahasa dan Komunikasi (FPBK) menyasarkan 100 pelajar daripada empat sekolah menengah di daerah Simunjan meningkatkan pencapaian Bahasa Melayu dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2026, khususnya daripada gred B kepada A.
Sasaran itu dilaksanakan menerusi Program Kolaboratif Bahasa Melayu SPM UNIMAS-PPD Simunjan Siri II: 2026 dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Simunjan, yang memberi tumpuan kepada pengukuhan kemahiran penulisan karangan bagi Kertas 1 Bahagian A dan B.
Ketua Penolong Pengarah Kanan (Sains Sosial), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sarawak, Edwin Apok berkata kerjasama strategik antara PPD dan universiti penting bagi memastikan pelajar di kawasan luar bandar mendapat akses kepada pendidikan berkualiti setanding dengan pelajar di bandar.
Program itu dirangka berdasarkan analisis penilaian AR2 calon SPM 2026 yang menunjukkan seramai 140 calon di daerah Simunjan memperoleh gred B dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, sekali gus dikenal pasti sebagai kumpulan berpotensi untuk mencapai keputusan lebih cemerlang.
Sesi pembelajaran dikendalikan Pegawai Pendidikan Pengajian Tinggi, Seksyen Bahasa Melayu FPBK, Muhammad Qhidir Mat Isa, yang menggunakan modul berasaskan analisis soalan SPM 2020 hingga 2025 bagi membantu pelajar menguasai teknik menjawab dan penulisan karangan.
Analisis berkenaan mendapati tema Pendidikan, Pembangunan Murid dan Kerjaya merupakan antara tema yang paling kerap diuji, merangkumi 24 peratus daripada soalan yang dikaji.
Muhammad Qhidir berkata pelajar yang menyasarkan gred A perlu menguasai strategi menjawab yang tepat bagi meningkatkan kecekapan penggunaan masa dan fokus ketika peperiksaan.
“Pelajar gred B sudah memiliki teknik. Yang membezakan mereka daripada calon gred A ialah strategi, kerana strategi menjimatkan fokus dan masa,” katanya.
Program itu disertai 40 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Simunjan No. 1, manakala masing-masing 20 pelajar daripada SMK Sri Sadong, SMK Gedong dan SMK Sebuyau, selain lapan guru pengiring.
Program berkenaan merupakan kesinambungan kerjasama UNIMAS dan PPD Simunjan yang dimulakan menerusi Siri I pada 30 Julai 2025, yang membantu 118 pelajar dalam kumpulan berisiko gagal atau hampir gagal dalam mata pelajaran Bahasa Melayu.
Kerjasama itu turut diperluas menerusi penganjuran Kem Sci-Math SEEP 2025 di UNIMAS yang disertai 240 pelajar daripada sekolah-sekolah sama.
Melalui inisiatif berkenaan, UNIMAS dan FPBK terus memperkukuh jaringan kerjasama dengan institusi pendidikan daerah bagi memperluas peluang pembelajaran berkualiti, khususnya kepada pelajar di kawasan luar bandar Sarawak.


Leave a Reply