oleh Noriza Hussain
MELAKA – Minat menghasilkan video, fotografi, reka bentuk grafik dan kandungan media sosial berpotensi dikembangkan menjadi kemahiran profesional menerusi program Diploma Media Digital yang diperkenalkan Kolej Antarabangsa Yayasan Melaka (ICYM).
Program yang kini dibuka untuk pengambilan pelajar itu menggabungkan elemen teknologi media, multimedia dan pelbagai disiplin kreatif bagi menyediakan pendedahan kepada golongan muda yang berminat menceburi industri media digital.
Antara bidang yang diterokai termasuk produksi filem dan video, reka bentuk grafik, multimedia, animasi, grafik bergerak (motion graphics), penciptaan kandungan digital serta fotografi.
Selain kemahiran teknikal, pelajar turut berpeluang mempelajari proses penghasilan kandungan secara profesional merangkumi perancangan, penulisan skrip, pengarahan, produksi dan penyuntingan.
Pendedahan itu membuka ruang kepada pelbagai laluan kerjaya termasuk penerbitan video, penyiaran, produksi filem dan televisyen, reka bentuk multimedia serta penciptaan kandungan digital.
Antara alumni ICYM yang mengembangkan kerjaya dalam industri media ialah Willy Jali anak Dagang, anak kelahiran Miri, Sarawak, yang kini berkhidmat sebagai pembaca berita dan wartawan penyiaran di TVS.
Beliau merupakan graduan Diploma Teknologi Media ICYM dan pernah menyandang jawatan Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) ICYM pada 2023.
Willy turut menerima Anugerah Khas Kecemerlangan pada Majlis Konvokesyen ICYM Kali Ke-21 selepas memperoleh Himpunan Purata Nilai Gred (HPNG) 3.94 sepanjang pengajian.
Pengalaman beliau menunjukkan bidang pengajian media boleh menjadi asas kepada pembinaan kerjaya dalam industri penyiaran dan komunikasi, selain memerlukan komitmen serta kesungguhan untuk mengembangkan kemahiran.
Dalam perkembangan industri kreatif yang semakin dipengaruhi teknologi digital, penguasaan kemahiran menghasilkan kandungan berkualiti menjadi antara keperluan penting bagi mereka yang ingin menceburi bidang berkenaan.
Program Diploma Media Digital ICYM turut memberi peluang kepada pelajar mengembangkan kreativiti serta memahami penggunaan teknologi dalam penghasilan kandungan yang mempunyai nilai dan mesej tersendiri.


Leave a Reply