TANJONG MALIM – Seramai 6,781 graduan bakal menerima ijazah dan diploma masing-masing pada Istiadat Konvokesyen Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Ke-28 yang berlangsung dari 25 November hingga 2 Disember ini.
Naib Canselor UPSI Prof. Datuk Dr. Md Amin Md Taff berkata istiadat yang membabitkan lapan sesi itu akan dimulakan dengan upacara pengisytiharan pembukaan oleh Canselor UPSI Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim pada 25 November di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah, Proton City.
Beliau berkata pada sesi pertama, Tuanku Zara Salim akan menyampaikan ijazah kepada 420 graduan, terdiri daripada 364 penerima Ijazah Doktor Falsafah dan 56 penerima Ijazah Sarjana.
Menurutnya, daripada jumlah keseluruhan graduan, seramai 364 orang akan menerima Ijazah Doktor Falsafah, Ijazah Sarjana (861), Ijazah Sarjana Muda (4,009), Diploma (636), Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah (398) dan Diploma Pascasiswazah Pendidikan (513).
Pada istiadat kali ini, UPSI turut menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Pendidikan Tahfiz kepada Tan Sri Dato’ Seri Haji Idris Jusoh, yang dikenali menerusi sumbangannya dalam pembangunan konsep Ulul Albab, penubuhan sekolah IMTIAZ serta Maktab Rendah Sains MARA Ulul Albab.
Ijazah Kehormat Doktor Multimedia pula dianugerahkan kepada pengasas, penerbit dan Pengarah Urusan Les’ Copaque Production, Datuk Haji Burhanuddin Md. Radzi.
Selain itu, Profesor Dr. Zakaria Ali, seorang sarjana dalam bidang seni visual serta pelukis dan penulis kreatif, akan menerima anugerah Profesor Emeritus sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan dan legasi beliau dalam bidang seni serta kesusasteraan.
Kesemua anugerah berkenaan akan disampaikan oleh Tuanku Zara Salim pada sesi pertama istiadat berkenaan.
Istiadat itu turut menyaksikan penyampaian Anugerah Pelajaran Diraja, Anugerah Pingat Emas Canselor, Anugerah Pingat Emas Naib Canselor dan Pingat Emas Lembaga Pengarah Universiti.
Md Amin berkata konvokesyen kali ini turut menyaksikan penyertaan beberapa tokoh seni tanah air sebagai graduan, antaranya pelakon veteran Zulkifli Ismail, 63, yang bakal menerima Ijazah Sarjana Pengajian Persembahan menerusi laluan Accreditation of Prior Experiential Learning for Qualification (APEL Q).
Turut menamatkan pengajian ialah penyanyi Tomok atau nama sebenarnya Shah Inderawan Ismail serta penyanyi Tengku Anis Soraya Tengku Sulaiman yang lebih dikenali sebagai Anis Suraya.
Dalam pada itu, dua graduan daripada Fakulti Pengurusan dan Ekonomi serta Fakulti Komputeran dan Meta Teknologi akan menerima ijazah secara anumerta.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada semua graduan dan keluarga atas kejayaan yang dicapai selepas melalui pelbagai cabaran sepanjang tempoh pengajian.
“Semoga perjalanan graduan bersama keluarga ke kampus dipermudahkan dan selamat sampai untuk kami raikan pada majlis yang sangat bermakna dan dinantikan kalian,” katanya.


Leave a Reply