Home / Sekolah / Guru SK Mentera juara sayembara penulisan buku kanak-kanak antarabangsa

Guru SK Mentera juara sayembara penulisan buku kanak-kanak antarabangsa

oleh Editorial KampusKini

KOTA BHARU – Guru Bahasa Melayu Sekolah Kebangsaan (SK) Mentera, Ahmad Safarman Dollah mengharumkan nama Malaysia apabila meraih tempat pertama kategori Novel Kanak-kanak Tahap Dua menerusi Sayembara Penulisan Buku Kanak-kanak dan Remaja Antarabangsa 2026.

Kejayaan itu diraih menerusi manuskrip berjudul Senja dan Jalan Pulang yang berjaya menarik perhatian panel penilai dalam pertandingan yang menerima 76 penyertaan dari dalam dan luar negara, termasuk China, Jepun dan Singapura.

Ahmad Safarman berkata beliau tidak menyangka berjaya memperoleh pengiktirafan itu memandangkan setiap peserta mempunyai kelebihan dan kekuatan karya tersendiri, lebih-lebih lagi persaingan melibatkan penulis dari beberapa negara.

Beliau berkata kejayaan berkenaan menjadi pengalaman bermakna dalam perjalanan kepengarangannya, selain menyuntik semangat untuk terus menghasilkan karya yang dapat menyumbang kepada perkembangan kesusasteraan kanak-kanak dan remaja.

Manuskrip Senja dan Jalan Pulang mengisahkan seorang murid bernama Quszaini yang menghadapi kesukaran dalam pembelajaran serta sering dipinggirkan rakan sebaya, namun memiliki keistimewaan tersendiri apabila berjaya menyelamatkan seorang warga emas ketika kampungnya dilanda banjir besar.

Karya itu mengetengahkan nilai persahabatan, kasih sayang, keberanian dan penerimaan masyarakat terhadap kanak-kanak yang mempunyai kekurangan, selain membawa mesej bahawa setiap individu mempunyai potensi untuk berjaya serta memberi sumbangan kepada orang lain.

Sayembara yang julung kali dianjurkan itu mempertandingkan empat kategori, iaitu Kanak-kanak Tahap Satu, Kanak-kanak Tahap Dua, Remaja Tahap Satu dan Remaja Tahap Dua.

Kejayaan itu turut menjadi pencapaian manis kedua buat Ahmad Safarman selepas dinobatkan sebagai Ikon Individu Membaca Negeri Kelantan sempena Hari Iqra dan Pesta Buku Darul Naim 2026 di Mydin Mall Tunjong, Kota Bharu, pada September lepas.

Beliau yang aktif dalam kegiatan kepengarangan bersama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Timur serta Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Kelantan sebelum ini menghasilkan 13 novel, empat e-novel serta puluhan karya sajak dan cerpen bersama penulis dari seluruh negara.

Ahmad Safarman merupakan graduan Bahasa dan Linguistik Melayu dari Universiti Putra Malaysia (UPM) serta memiliki kelulusan Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) Pengajian Melayu dari Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Kampus Perlis.

Sementara itu, Guru Besar SK Mentera, Rozanita Ismail berkata kejayaan itu menjadi kebanggaan seluruh warga sekolah dan membuktikan golongan pendidik bukan sahaja berperanan menyampaikan ilmu, malah mampu menyumbang kepada perkembangan dunia penulisan dan kesusasteraan.

Beliau berharap pencapaian Ahmad Safarman dapat menjadi inspirasi kepada guru dan murid lain untuk mengembangkan bakat, meningkatkan budaya membaca serta berani menghasilkan karya yang berpotensi diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.

Manuskrip yang memenangi sayembara itu berpeluang diterbitkan menerusi kerjasama Sanggar Ilmu Sdn. Bhd., Penerbitan Pelangi Sdn. Bhd. dan DBP, selain berpotensi dikembangkan ke medium drama televisyen dan filem.

Hadiah disampaikan oleh Pengerusi Sanggar Ilmu Sdn. Bhd., Senator Datuk Seri Profesor Emeritus Dr Awang Sariyan pada Majlis Penyampaian Hadiah Sayembara Penulisan Buku Kanak-kanak dan Remaja Antarabangsa 2026 di Sanggar Tun Sri Lanang, Menara DBP, Kuala Lumpur, pada 29 Okt lepas.

Majlis anjuran Sanggar Ilmu Sdn. Bhd. dan Penerbitan Pelangi Sdn. Bhd. dengan kerjasama DBP itu turut dihadiri Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP, Mohd Salahuddin Mohamed serta wakil pengurusan Penerbitan Pelangi.

Editor Kampuskini.my avatar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Trending

🕌
Waktu Solat
Malaysia

Wilayah Persekutuan — Kuala Lumpur & Putrajaya


Imsak

05:38


Subuh

05:48


Syuruk

06:56


Zohor

13:00


Asar

16:21


Maghrib

18:58


Isyak

20:10

Sumber: e-Solat JAKIM