Home / Sekolah / 212 murid SK Mentera sertai perkhemahan unit beruniform, kem sahsiah jati diri

212 murid SK Mentera sertai perkhemahan unit beruniform, kem sahsiah jati diri

Oleh Ahmad Safarman Dollah

Kota Bharu – Seramai 244 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Mentera, Kota Bharu menyertai Program Perkhemahan Unit Beruniform dan Kem Sahsiah Jati Diri Tahunan Sekolah 2026 yang berlangsung selama dua hari bermula 14 hingga 15 Oktober lalu.

Program yang diadakan di kawasan sekolah itu bertujuan membentuk sahsiah dan jati diri murid menerusi penerapan nilai disiplin, kepimpinan, kerjasama serta tanggungjawab dalam kehidupan seharian.

Pelbagai aktiviti menarik dan berunsurkan pendidikan luar bilik darjah dirancang bagi memberikan pengalaman bermakna kepada peserta, termasuk pemasangan khemah, latihan kawad kaki, aktiviti berkumpulan, pertolongan cemas dan latihan praktikal sembelihan ayam.

Guru Besar SK Mentera, Rozanita Ismail berkata, program berkenaan merupakan antara usaha pihak sekolah melahirkan murid yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah memiliki sahsiah terpuji, berdisiplin dan mampu memimpin.

Menurutnya, pengalaman sepanjang perkhemahan dapat membantu murid membina keyakinan diri, memupuk semangat berdikari serta belajar menyesuaikan diri dengan pelbagai cabaran dalam suasana yang berbeza daripada pembelajaran di bilik darjah.

“Pihak sekolah berharap setiap murid dapat memanfaatkan peluang ini untuk belajar menghormati rakan, bekerjasama dalam kumpulan dan melaksanakan tanggungjawab yang diberikan dengan penuh komitmen.

“Nilai yang dipelajari sepanjang perkhemahan perlu diteruskan dalam kehidupan seharian supaya murid membesar sebagai individu yang berakhlak mulia, bertanggungjawab dan mampu menyumbang kepada masyarakat,” katanya.

Sementara itu, Kem Komandan, Mejar (KRS) Mohd Syahrizanyuzi bin Saari berkata, perkhemahan berkenaan memberi penekanan terhadap pembentukan disiplin, kepimpinan dan ketahanan fizikal serta mental melalui aktiviti yang memerlukan kerjasama dan komitmen peserta.

Menurutnya, setiap aktiviti dirancang untuk menguji kebolehan murid mengurus diri, mematuhi arahan, menyelesaikan tugasan serta bekerjasama bagi mencapai matlamat yang ditetapkan.

“Perkhemahan bukan sekadar aktiviti mendirikan khemah atau menyertai permainan, sebaliknya menjadi medan untuk murid belajar tentang disiplin, keberanian, kepimpinan dan tanggungjawab.

“Saya berharap peserta dapat membawa pulang pengalaman berharga ini serta mengamalkan nilai positif yang dipelajari, khususnya dalam aspek pengurusan diri, kerjasama berpasukan dan penghormatan terhadap orang lain,” katanya.

Pada hari pertama, peserta mengikuti aktiviti lapor diri, pecah bendungan, pemasangan khemah, teori dan praktikal sembelihan ayam serta latihan malam kebudayaan. Pertandingan malam kebudayaan dan aktiviti Malam Cengkerik turut memeriahkan program berkenaan.

Aktiviti hari kedua dimulakan dengan solat Subuh berjemaah dan Pendidikan Jasmani (PT) pagi sebelum peserta menyertai permainan dinamika, kawad kaki, aktiviti menggulung khemah, gotong-royong dan tugasan dalam kumpulan.

Program berakhir dengan majlis penutupan serta penyampaian hadiah dan sijil kepada peserta yang mengambil bahagian.

Penganjuran program itu diharapkan dapat memperkukuh semangat berpasukan dalam kalangan murid, di samping melahirkan generasi yang berdisiplin, berdaya saing dan mempunyai ciri kepimpinan selaras dengan aspirasi sekolah untuk membentuk murid yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek.

 

Editor Kampuskini.my avatar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Trending

🕌
Waktu Solat
Malaysia

Wilayah Persekutuan — Kuala Lumpur & Putrajaya


Imsak

05:39


Subuh

05:49


Syuruk

06:56


Zohor

13:01


Asar

16:18


Maghrib

19:00


Isyak

20:10

Sumber: e-Solat JAKIM