oleh Mohd Rizal Azman Rifin
MUADZAM SHAH – Sekolah Menengah Kebangsaan Muadzam Jaya (SEMMUJA) menggunakan kaedah Pembelajaran Berasaskan Projek (PBP) bagi meningkatkan minat murid terhadap mata pelajaran Sains menerusi aktiviti membina model roller coaster menggunakan bahan terbuang.
Aktiviti yang berlangsung di Dewan Al-Biruni itu melibatkan semua murid Tingkatan Tiga yang dibahagikan kepada 20 kumpulan bagi menghasilkan model berdasarkan kreativiti dan idea masing-masing.
Projek itu dirangka selaras dengan Bab 7 mata pelajaran Sains Tingkatan Tiga bertemakan “Tenaga dan Kuasa”, yang merangkumi konsep kerja, jenis tenaga, kuasa serta prinsip keabadian tenaga.
Guru Sains SEMMUJA Ahmad Rushdan Mohamad Ghazali berkata kaedah PBP membantu murid memahami konsep sains melalui aktiviti praktikal, selain mengasah kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif.
Beliau berkata pendekatan itu turut membimbing murid menganalisis masalah, menjana idea dan menghasilkan penyelesaian secara inovatif, di samping mengukuhkan kemahiran proses sains melalui pemerhatian, pengumpulan data dan pengujian hipotesis.
“Pembelajaran menjadi lebih aktif dan bermakna kerana murid terlibat secara langsung dalam proses penerokaan, sekali gus membantu mengikis persepsi bahawa Sains ialah mata pelajaran yang membosankan atau sukar,” katanya.
Sementara itu, murid Tingkatan Tiga Muhammad Naim Che Ali, 15, berkata kaedah pembelajaran itu memudahkannya memahami konsep sains melalui aktiviti praktikal, selain memupuk kerjasama dan kemahiran sosial ketika menyiapkan projek secara berkumpulan.
Beliau berharap lebih banyak aktiviti seumpama itu dianjurkan pihak sekolah bagi meningkatkan semangat belajar dan membantu murid memahami pelajaran dengan lebih mudah.


Leave a Reply