oleh Editorial KampusKini
JELI – Seramai 45 warga Sekolah Kebangsaan Pendok (SK Pendok) menyertai program sinergi menerusi aktiviti arung jeram di Gunung Reng Eco Park bagi memperkukuh komunikasi, kerjasama dan semangat berpasukan dalam kalangan warga sekolah.
Program sehari anjuran Jawatankuasa Team Building SK Pendok itu melibatkan guru, anggota kumpulan pelaksana, pengawal keselamatan dan pekerja swasta yang berkhidmat di sekolah berkenaan.
Pengarah program Mazraihan Hilmi berkata aktiviti itu julung kali dianjurkan sebagai inisiatif membina keyakinan diri serta memupuk kerjasama dalam kalangan warga sekolah ketika berhadapan cabaran.
Beliau berkata aktiviti arung jeram dipilih kerana memerlukan koordinasi, komunikasi berkesan dan kepercayaan antara peserta untuk mengendalikan bot serta mengharungi arus sungai.
“Bertemakan ‘Alam Menyatukan Kita’, program ini diharap dapat memperkukuh perpaduan dan semangat kebersamaan dalam kalangan warga sekolah demi meningkatkan kecemerlangan organisasi,” katanya.
Selain membina hubungan kerja yang lebih erat, program itu turut memberi peluang kepada peserta merehatkan minda daripada rutin tugas harian menerusi aktiviti luar dalam suasana santai dan mesra.


Leave a Reply