oleh Editorial KampusKini
JELI– Sambutan Hari Sukan Negara 2026 di Sekolah Kebangsaan (SK) Pendok di sini berlangsung meriah menerusi tema “Demam World Cup” yang menyaksikan guru dan murid mengenakan jersi pasukan bola sepak pilihan masing-masing.
Program yang berlangsung pada 10 Okt lepas itu dianjurkan bagi menggalakkan budaya hidup sihat dan aktif dalam kalangan warga sekolah menerusi pelbagai aktiviti sukan dan rekreasi.
Penolong Kanan Kokurikulum SK Pendok, Mohd Tamizee Mohd Alwi berkata sambutan Hari Sukan Negara merupakan antara usaha membudayakan aktiviti sukan dalam masyarakat, khususnya murid sekolah.
Beliau berkata penglibatan guru dan murid dalam aktiviti berkenaan bukan sahaja menggalakkan kecergasan fizikal, malah membantu membina keyakinan diri serta mengeratkan hubungan warga sekolah.
Sementara itu, Setiausaha Sukan SK Pendok, Badrul Hisyam Mustafa berkata tema “Demam World Cup” dipilih bagi mewujudkan suasana lebih ceria dan menarik minat murid untuk menyertai aktiviti yang dianjurkan.
Beliau berkata hiasan bertemakan bola sepak di Dewan Bitara serta pemakaian jersi oleh guru dan murid turut memeriahkan sambutan berkenaan.
Antara aktiviti yang dijalankan ialah senamrobik, pertandingan sepakan penalti dan menggelecek bola.
Menurutnya, program itu turut memberi peluang kepada guru menerapkan pembelajaran di luar bilik darjah menerusi interaksi dan soal jawab berkaitan pasukan serta jersi bola sepak yang dipakai oleh murid.
Sambutan berkenaan diharap dapat meningkatkan minat murid terhadap aktiviti fizikal, di samping memupuk semangat kesukanan dan menggalakkan gaya hidup sihat sejak di bangku sekolah.


Leave a Reply