oleh Mohd Rizal Azman Rifin
MUADZAM SHAH– Seramai 40 murid Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI) Muadzam Shah menyertai program Scratch and Play dan Asas Coding bagi memberi pendedahan awal kepada bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).
Program anjuran Jabatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (JTMK), Politeknik Muadzam Shah (PMS) itu melibatkan murid Tahun Tiga hingga Tahun Enam menerusi aktiviti pembelajaran pengaturcaraan secara interaktif dan kreatif.
Wakil SRITI Muadzam Shah, Ustaz Nik Kasfan Zunnur berkata program itu memperkenalkan murid kepada asas pengaturcaraan menggunakan perisian Scratch dalam suasana pembelajaran yang santai dan menyeronokkan.
Beliau berkata murid berpeluang memahami konsep asas pengaturcaraan seperti arahan, turutan, pergerakan dan logik, selain menghasilkan projek mudah menggunakan perisian berkenaan.
“Program ini memperkenalkan murid kami kepada asas coding menggunakan Scratch melalui aktiviti interaktif, kreatif dan menyeronokkan,” katanya.
Menurutnya, bimbingan pensyarah JTMK membantu murid menyelesaikan tugasan yang diberikan, sekali gus meningkatkan keyakinan mereka untuk meneroka kemahiran baharu dalam bidang teknologi.
Beliau berharap lebih banyak program pendedahan STEM dapat dilaksanakan bagi menarik minat murid terhadap bidang berkenaan serta mengelakkan tanggapan bahawa STEM merupakan bidang yang sukar dipelajari.
Katanya, pendedahan awal seperti itu penting untuk membina minat dan menggalakkan murid mendalami ilmu STEM sebagai salah satu bidang kemahiran tambahan yang bermanfaat untuk masa depan.


Leave a Reply