oleh Ahmad Safarman Dollah
KOTA BHARU– Seramai 269 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Mentera di sini menyertai Kem Bestari Solat bagi meningkatkan kefahaman dan kemahiran melaksanakan ibadah solat dengan sempurna.
Program yang berlangsung dari 8 pagi hingga 12 tengah hari pada Jumaat itu dibimbing 12 guru, termasuk guru Pendidikan Islam dan guru kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA).
Pengisian program merangkumi bimbingan mengambil wuduk, latihan amali pergerakan dan bacaan solat, penerangan mengenai rukun serta syarat sah solat, selain kuiz bagi menguji kefahaman murid.
Murid turut diberi latihan menunaikan solat secara berjemaah bagi memastikan setiap pergerakan dan bacaan dilakukan dengan betul.
Guru Besar SK Mentera Rozanita Ismail berkata program itu bertujuan membentuk murid yang bukan sahaja memahami ilmu agama, malah mengamalkan tuntutan Islam dalam kehidupan seharian.
“Kami mahu murid memahami bahawa solat bukan sekadar kewajipan, tetapi juga asas pembentukan disiplin, akhlak dan jati diri. Amalan ini perlu dipupuk sejak kecil supaya mereka membesar sebagai insan yang soleh dan solehah,” katanya.
Beliau berkata pendekatan pembelajaran secara teori dan amali membantu murid memahami ibadah solat dengan lebih jelas, sekali gus meningkatkan keyakinan mereka untuk menunaikannya dengan betul.
Sementara itu, guru pembimbing Mohd Syahruzanyuzi Saari berkata latihan amali memberi peluang kepada murid mengenal pasti dan memperbaiki kelemahan dalam pelaksanaan solat menerusi tunjuk ajar secara langsung.
“Bimbingan berterusan dan latihan praktikal seperti ini dapat membantu mereka membina keyakinan serta membiasakan diri menjaga solat,” katanya.
Program berkenaan diharap dapat menyemai kesedaran dalam kalangan murid untuk menjaga solat lima waktu, selaras dengan usaha sekolah membentuk generasi berilmu dan berakhlak mulia.


Leave a Reply