oleh Editorial KampusKini
TANJONG MALIM – Seramai 102 peserta daripada enam sekolah sekitar daerah Muallim menyertai Program Bermalam di Muzium 2026 Peringkat Kebangsaan di Muzium Pendidikan Nasional (MPN), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), bagi mendekatkan generasi muda dengan sejarah dan warisan pendidikan negara.
Program anjuran MPN UPSI yang berlangsung selama dua hari bermula 15 September itu merupakan sebahagian daripada inisiatif Program Bermalam di Muzium yang melibatkan 32 muzium di seluruh negara dengan penyertaan 2,262 peserta.
Program berkenaan memberi peluang kepada peserta mempelajari sejarah dan warisan menerusi pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman, selain mengenali fungsi muzium sebagai institusi pendidikan.
Pengisian turut mendapat kerjasama Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM) menerusi aktiviti yang menekankan nilai kenegaraan, jati diri dan pembentukan sahsiah peserta.
Peserta turut mengikuti sesi perkongsian ilmu bersama tiga Penolong Kurator MPN, Ahmad Faizal Ahmad Zawawi, Ahmad Nazri Ismail dan Adi Ratna Mohammed Nor, yang memberikan pendedahan mengenai bidang permuziuman, peranan kurator serta pengurusan koleksi, artifak dan pameran.
Menerusi Program Kurator Muda, peserta menghasilkan Kolaj Rempah bertemakan Tokoh Pendidikan Negara menggunakan bahan seperti kulit kayu manis, bunga lawang dan lada hitam, sebelum membentangkan sumbangan tokoh yang dipilih.
Peserta turut menyertai Eksplorasi Muzium dengan meneroka 21 galeri di MPN bagi menelusuri perkembangan sejarah pendidikan Malaysia berdasarkan tugasan dan soalan yang diberikan.
Majlis penutupan program yang dilaksanakan secara dalam talian disempurnakan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Perancangan Strategik) Kementerian Perpaduan Negara Mohamad Sobri Mat Daud.
Pengarah Institut Peradaban Melayu Prof Dr Tajul Shuhaizam Said berkata generasi muda perlu menjadikan ilmu, sejarah dan budaya sebagai asas dalam membentuk masa depan negara, khususnya ketika teknologi dan kecerdasan buatan (AI) berkembang pesat.
“Ilmu pengetahuan yang berteraskan sejarah dan budaya adalah jiwa kepada kemajuan tersebut. Saya menasihati anda agar tidak berhenti menuntut ilmu.
“Jadilah generasi yang sentiasa bertanyakan ‘mengapa’ dan ‘bagaimana’, seperti mana anda meneroka galeri-galeri muzium ini,” katanya.
Beliau turut menyeru peserta memelihara hubungan silaturahim dan menjadikan kepelbagaian sebagai kekuatan dalam membina perpaduan.
Program itu bukan sahaja memberi pengalaman bermalam di muzium, malah menyediakan ruang kepada peserta untuk belajar, meneroka dan berkomunikasi secara langsung dengan bahan serta sejarah pendidikan negara.
Penganjuran berkenaan turut memperkukuh peranan MPN sebagai ruang pembelajaran yang menghubungkan warisan, pendidikan dan generasi masa hadapan.


Leave a Reply