Home / Budaya / Universiti perlu bentuk generasi berilmu, berjati diri – NC UKM

Universiti perlu bentuk generasi berilmu, berjati diri – NC UKM

oleh Editorial KampusKini

KUALA LUMPUR– Universiti mempunyai peranan penting dalam membentuk generasi pembina negara bangsa yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, tetapi memiliki jati diri, integriti dan rasa tanggungjawab terhadap negara, kata Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Datuk Dr Sufian Jusoh.

Beliau berkata pembangunan generasi baharu perlu dilihat secara menyeluruh dengan mengambil kira aspek identiti nasional, nilai dan kefahaman terhadap tanggungjawab sebagai anggota sebuah negara bangsa.

“Universiti mempunyai peranan besar dalam membentuk generasi yang bukan sahaja mempunyai ilmu dan kemahiran, tetapi memahami kedudukan serta tanggungjawab mereka sebagai sebahagian daripada sebuah negara bangsa,” katanya.

Sufian berkata demikian ketika menjadi panel dalam Podcast Aku Kasih Malaysia anjuran Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM) menerusi Segmen 1 bertajuk “Membina Generasi Pembina Negara Bangsa” yang berlangsung di Sky Box, Menara Kuala Lumpur.

Menurut beliau, peranan itu selari dengan aspirasi TEKAD 57 yang mengangkat hasrat UKM sebagai peneraju dalam pembentukan jati diri dan identiti nasional.

Beliau berkata kedudukan UKM sebagai universiti kebangsaan membawa tanggungjawab besar untuk terus memperkukuh nilai kenegaraan dalam kalangan mahasiswa, khususnya dalam menghadapi perkembangan teknologi, keterbukaan dunia serta pengaruh global dan media sosial.

Sufian turut menyeru generasi baharu supaya terus memperkukuh jati diri dan mempertahankan identiti nasional sebagai persediaan menghadapi masa depan Malaysia, khususnya menjelang 100 tahun kemerdekaan negara pada 2057.

Beliau berkata aspirasi TEKAD 57 tidak seharusnya dilihat hanya sebagai agenda pembangunan universiti, sebaliknya perlu diterjemahkan melalui usaha berterusan membina insan dan generasi yang mampu menyumbang kepada pembangunan negara.

Photo credit dan sumber: Facebook rasmi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Editor Kampuskini.my avatar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *