Home / Budaya / GAJA! Korea 3.0 perkukuh jaringan TVET KV Keningau-Korea Selatan

GAJA! Korea 3.0 perkukuh jaringan TVET KV Keningau-Korea Selatan

oleh Mohd Al Khalifa Mohd Affnan

KENINGAU – Program Mobiliti Pendidikan Antarabangsa GAJA! Korea 3.0 memperkukuh jaringan kerjasama hampir sedekad antara Kolej Vokasional Keningau (KV Keningau) dan Seoul Technical High School (STHS), Korea Selatan dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Program yang berlangsung di Seoul dari 29 Ogos hingga 5 September lalu itu melibatkan 13 pelajar serta lapan pendidik dan pegawai pengiring KV Keningau.

GAJA! Korea 3.0 merupakan kesinambungan GAJA! Korea 1.0 pada 2019 dan GAJA! Korea 2.0 pada 2024, dengan memberi tumpuan kepada pemindahan pengetahuan TVET, pembelajaran bersama, pendidikan kewarganegaraan global dan pertukaran budaya.

Jaringan yang dibina hampir 10 tahun itu turut diteruskan menerusi kelas dalam talian, pertemuan bersemuka dan pelaksanaan projek bersama pelajar kedua-dua negara.

Antara pengisian utama program ialah kelas bersama di STHS, lawatan bengkel, aktiviti amali, pembentangan projek serta pertukaran budaya.

Menerusi kelas bertemakan “Smart Solutions for Better Living”, pelajar KV Keningau dan STHS bekerjasama menghasilkan cadangan penyelesaian terhadap isu seperti pencegahan buli dan alam sekitar, sebagai kesinambungan pembelajaran dalam talian sebelum lawatan.

Peserta turut mendapat pendedahan kepada kemudahan latihan automotif, teknologi kenderaan elektrik serta asas pengawal logik boleh atur cara (PLC), sekali gus memberi pengalaman melihat aplikasi kemahiran teknikal dalam persekitaran pembelajaran antarabangsa.

Program itu turut merangkumi pengisian Pendidikan Kewarganegaraan Global (GCED) di Asia-Pacific Centre of Education for International Understanding (APCEIU), sebuah pusat pendidikan untuk persefahaman antarabangsa di bawah naungan UNESCO.

Pengisian berkenaan memberi penekanan kepada nilai keamanan, empati, pemikiran kritis dan sikap saling menghormati dalam masyarakat berbeza budaya.

Selain aspek TVET, peserta turut mengikuti aktiviti amali kulinari serta bakeri dan pastri di Seocho School of Cultural Arts and Information bersama pelajar tempatan.

Delegasi KV Keningau turut memperkenalkan warisan Sabah menerusi persembahan kisah Huminodun, yang memberi peluang kepada pelajar mengasah kemahiran komunikasi, kerjasama dan keyakinan diri di pentas antarabangsa.

Program itu turut membuka peluang pengembangan jaringan antarabangsa apabila Namwon Jeil High School dijadual mengadakan kunjungan ke KV Keningau pada Oktober ini bagi melaksanakan International Culinary Exchange.

Menurut KV Keningau, kesinambungan kerjasama antarabangsa seperti GAJA! Korea 3.0 penting dalam melahirkan pelajar TVET yang bukan sahaja memiliki kemahiran teknikal, malah berkeyakinan, berfikiran global dan mampu bekerjasama dalam persekitaran antarabangsa.

Penganjuran program itu turut mendapat sokongan Bahagian Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (BPLTV) serta Bahagian Profesionalisme Guru (BPG).

Editor Kampuskini.my avatar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *