oleh Bazli Razak
TANJONG MALIM– Warga Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) perlu berani membebaskan diri daripada penjajahan minda serta menyedari bahawa institusi itu mempunyai kemampuan untuk berdiri sama hebat dengan institusi pendidikan lain di dunia.
Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff. berkata kemerdekaan tidak seharusnya hanya dilihat sebagai pembebasan daripada penjajahan fizikal, sebaliknya semangat kemerdekaan perlu diterjemahkan melalui keberanian berfikir, berusaha dan menghasilkan sesuatu yang memberi manfaat kepada masyarakat serta negara.
“Betul penjajahan telah tiada, namun penjajahan yang masih melekat dan masih kukuh adalah penjajahan minda.
“Sebab itulah di UPSI, kita mesti berani keluar daripada penjajahan minda. Kita mesti berani berusaha dan kita mesti tahu bahawa kita juga sama hebat dengan institusi-institusi lain di dunia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Edisi September 2026 bertemakan “Rasa Dunia, Jiwa Malaysia” sempena Bulan Kebangsaan di Dewan Tuanku Canselor Kampus Sultan Azlan Shah UPSI, hari ini.
Md Amin berkata semangat berani mencipta perubahan itu selari dengan sejarah UPSI yang bermula lebih 100 tahun lalu sebagai Sultan Idris Training College (SITC), apabila anak-anak muda daripada keluarga serba kekurangan datang ke institusi berkenaan dengan cita-cita untuk menjadi guru.
Menurutnya, institusi yang pada asalnya diwujudkan bagi melahirkan guru sekolah Melayu akhirnya berkembang menjadi medan yang menyemarakkan semangat kemerdekaan dan melahirkan tokoh penting bukan sahaja di Tanah Melayu, malah di rantau Nusantara.
Beliau berkata sejarah berkenaan membuktikan bahawa warga UPSI tidak seharusnya berasa rendah diri atau terikat dengan batasan pemikiran, sebaliknya perlu meneruskan legasi generasi terdahulu yang berani membawa perubahan.
Dalam pada itu, Md Amin menyeru warga akademia supaya menterjemahkan ilmu dan idea kepada tindakan serta menghasilkan sesuatu yang memberi impak, bukannya sekadar berhenti pada perbincangan atau cadangan.
“Jangan hanya semata-mata berkata-kata, jangan hanya semata-mata menunjuk rasa, jangan hanya semata-mata memberikan idea. Hasilkan, laksanakan dan realisasikan!” katanya.
Beliau mengambil contoh Pendeta Za’ba yang pernah berkhidmat sebagai pensyarah di UPSI dan menyumbang kepada pembangunan bahasa serta pendidikan negara, termasuk mengilhamkan penubuhan Dewan Bahasa dan Pustaka dan Pejabat Karang Mengarang.
Sehubungan itu, beliau turut mengingatkan warga akademia dan pentadbir UPSI supaya memainkan peranan membentuk mahasiswa dengan menekankan aspek adab, akhlak dan akademik, terutama kerana sebahagian besar graduan universiti itu bakal menjadi guru.
Sementara itu, beliau turut menzahirkan penghargaan terhadap warga UPSI yang menyumbang kepada kecemerlangan universiti, khususnya dalam bidang sukan termasuk kejayaan melahirkan Raja dan Ratu Pecut serta Olahragawati Sukan Institut Pengajian Tinggi (SUKIPT) 2026 daripada Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan.
Beliau berkata pencapaian itu membuktikan keupayaan UPSI melahirkan bakat bertaraf tinggi apabila tiga pelari universiti berkenaan turut mewakili Malaysia ke Sukan Asia.
Perhimpunan bertemakan “Rasa Dunia, Jiwa Malaysia” itu turut menampilkan sesi interaktif kenegaraan dengan kerjasama Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM), selain reruai makanan tradisi dari 10 negara iaitu Malaysia, Indonesia, Thailand, India, Bangladesh, Itali, China, Jepun, Korea dan Mesir.


Leave a Reply