oleh editorial KampusKini
GEORGE TOWN – Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Ningbo University (NBU), China memperkukuh kerjasama penyelidikan rentas negara dalam bidang daya tahan air, pertanian mampan dan One Health menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) di sini.
Kerjasama itu turut melibatkan penubuhan dan pengukuhan International Science and Technology Cooperation Base on Coastal Agricultural Water Resilience and One Health, yang menjadi antara tonggak utama kolaborasi kedua-dua universiti.
Naib Canselor UUM Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed berkata kerjasama berkenaan membuka ruang lebih luas kepada penyelidikan bersama, mobiliti pelajar dan staf serta penerbitan bersama antara Malaysia dan China.
MoU itu ditandatangani oleh Prof. Dr. Ahmad Martadha dan Naib Canselor NBU, Prof. Zhang Zhenzhu di JEN Penang Georgetown by Shangri-La, semalam.
Kerjasama berkenaan diusahakan dan diselaraskan oleh Disaster Management Institute (DMI), UUM sebagai usaha memperluas jaringan akademik dan penyelidikan universiti di peringkat antarabangsa.
Inisiatif itu dijangka memperkukuh penyelidikan berkaitan daya tahan sumber air di kawasan pertanian pesisir, kelestarian pertanian serta pendekatan One Health yang menghubungkan aspek kesihatan manusia, haiwan dan alam sekitar.
Kerjasama UUM-NBU itu juga dilihat sebagai platform strategik untuk menggabungkan kepakaran penyelidik kedua-dua negara dalam menghasilkan penyelidikan berimpak serta penyelesaian terhadap cabaran serantau dan global.
Selain penyelidikan, MoU tersebut merangkumi peluang mobiliti pelajar dan staf serta penerbitan bersama, sekali gus memperluas jaringan akademik dan perkongsian kepakaran antara kedua-dua institusi.
Photo credit dan sumber: Facebook rasmi Universiti Utara Malaysia (UUM)


Leave a Reply