Home / Penyelidikan / Pensyarah UiTM terima Anugerah Penyelidik Awal Kerjaya MSLAB 2026

Pensyarah UiTM terima Anugerah Penyelidik Awal Kerjaya MSLAB 2026

oleh Fairus Muhamad Darus

SERDANG – Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Biologi, Fakulti Sains Gunaan (FSG), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Ts. Dr. Muhamad Fareez Ismail menerima Anugerah Penyelidik Awal Kerjaya 2026 (Early Career Research Award 2026) daripada Persatuan Bakteria Asid Laktik Malaysia (MSLAB).

Anugerah itu disampaikan pada 24 September lalu sempena Simposium Bakteria Asid Laktik Malaysia Kali Kedua (2nd Malaysian Symposium on Lactic Acid Bacteria, MSLAB 2026) di Auditorium Institut Biosains, Universiti Putra Malaysia (UPM), di sini.

Pengiktirafan berkenaan diberikan atas sumbangan beliau dalam bidang bakteria asid laktik, probiotik serta penerokaan aplikasinya dalam bidang kesihatan dan bioteknologi.

Dr. Muhamad Fareez yang juga Koordinator Keusahawanan Akademi Pembangunan PKS dan Keusahawanan Malaysia (MASMED) FSG UiTM mempunyai kepakaran dalam bidang bioteknologi, mikrobiologi dan farmakologi.

Antara penyelidikan beliau ialah pembangunan sistem mikrokapsul bagi meningkatkan kestabilan serta penghantaran bakteria probiotik dalam saluran gastrousus, sekali gus membuka ruang kepada penerokaan penggunaan bakteria bermanfaat dalam aplikasi berkaitan kesihatan.

Penglibatan beliau dalam bidang bakteria asid laktik turut diperkukuh menerusi MSLAB apabila beliau pernah memenangi pertandingan imej mikroskopi anjuran persatuan itu dan kini menganggotai Jawatankuasa Eksekutif MSLAB bagi sesi 2026/2027.

Selain penyelidikan, Dr. Muhamad Fareez turut aktif membawa hasil kajian ke arah pengkomersialan apabila mengetuai geran pengkomersialan bagi projek pembangunan produk dan pasaran CURALLE (Product & Market Incubation (PMI) of CURALLE) pada tahun ini.

Projek itu menghubungkan hasil penyelidikan dengan pembangunan produk serta penerokaan pasaran, sekali gus memperkukuh usaha menterjemahkan pengetahuan saintifik kepada inovasi yang berpotensi memberi manfaat kepada masyarakat.

Pada simposium sama, MSLAB turut menganugerahkan Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat kepada Prof. Datuk Wira Dr. Raha Abdul Rahim dan Anugerah Penyelidik Unggul kepada Prof. Dr. Lim Siong Meng.

Ketiga-tiga anugerah berkenaan mengiktiraf sumbangan penyelidik pada peringkat kerjaya berbeza dalam perkembangan bidang bakteria asid laktik di Malaysia.

Penerimaan Anugerah Penyelidik Awal Kerjaya 2026 itu menambah satu lagi pencapaian dalam perjalanan akademik dan penyelidikan Dr. Muhamad Fareez, selain mencerminkan penglibatan penyelidik UiTM dalam memperkasa bidang bakteria asid laktik dan inovasi berasaskan bioteknologi.

Editor Kampuskini.my avatar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Trending

🕌
Waktu Solat
Malaysia

Wilayah Persekutuan — Kuala Lumpur & Putrajaya


Imsak

05:39


Subuh

05:49


Syuruk

06:58


Zohor

13:01


Asar

16:23


Maghrib

18:59


Isyak

20:12

Sumber: e-Solat JAKIM