oleh Editorial KampusKini
KUALA LUMPUR– Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan KPJ Healthcare University Sdn Bhd (KPJU) menjalin kerjasama penyelidikan bagi membangunkan model ramalan serta aplikasi pencegahan berasaskan kecerdasan buatan (AI) untuk mengenal pasti risiko komplikasi psikologi berkaitan kanser.
Kerjasama menerusi Perjanjian Penyelidikan (Research Agreement – RA) itu dimeterai antara Fakulti Perubatan UniSZA dan KPJU sempena University Research and Innovation Investment Summit (URIIS) 2026 di World Trade Centre Kuala Lumpur baru-baru ini.
Kajian bertajuk Construction of a Predictive Model and an AI-Driven Preventive Internet Apps Program for Risk of Common Cancer-Related Psychological Complications itu memberi tumpuan kepada pembangunan teknologi kesihatan digital bagi menyokong pengesanan dan pencegahan awal komplikasi psikologi berkaitan kanser.
Pertukaran dokumen RA disempurnakan Naib Canselor UniSZA, Prof Datuk Dr Fadzli Adam dan Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi KPJU, Prof Dr Iekhsan Othman.
Kerjasama itu turut merangkumi penyelidikan dalam bidang kesihatan digital, khususnya aplikasi kesihatan mudah alih, AI dan analitik data kesihatan bagi menyokong penyampaian perkhidmatan penjagaan kesihatan yang lebih mudah dicapai dan berasaskan data.
UniSZA dalam kenyataan berkata kerjasama berkenaan dijangka membuka peluang kepada penerbitan bersama, geran industri, pertukaran kepakaran, pembangunan bakat penyelidikan, pemfailan paten serta penghasilan produk penyelidikan berkualiti.
Menurut kenyataan itu, jalinan berkenaan turut berpotensi meningkatkan kebolehpasaran graduan melalui pendedahan kepada penyelidikan dan pembangunan teknologi kesihatan yang memenuhi keperluan industri.
Kerjasama UniSZA-KPJU itu selaras dengan Pelan Strategik UniSZA 2023-2030, khususnya Strategi Teras 2 (ST2): Penyelidikan Berimpak Tinggi.
Detik pertukaran dokumen itu turut disaksikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir; Menteri Kewangan II, Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan serta pengurusan tertinggi Kementerian Pendidikan Tinggi.
Photo credit dan sumber: Facebook rasmi Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)


Leave a Reply