oleh Fairus Muhamad Darus
KUALA LUMPUR – Usaha menghubungkan penyelidikan mikrobiologi dengan pendidikan sains dan penyelesaian pencemaran industri membawa dua pengiktirafan kepada Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Biologi, Fakulti Sains Gunaan, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr. Nurul Hidayah Adenan.
Beliau menerima hadiah kedua Anugerah Pendidikan Sains menerusi inovasi BioClean Kit dengan hadiah wang tunai RM4,000, selain memperoleh Geran Penyelidikan Sains dan Teknologi berjumlah RM15,000 daripada Yayasan Sains Toray Malaysia (Malaysia Toray Science Foundation, MTSF).
Kedua-dua pengiktirafan itu diraikan pada Majlis Penyampaian Hadiah MTSF Ke-33 di Hotel InterContinental Kuala Lumpur pada 3 November lalu yang turut dihadiri Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Chang Lih Kang sebagai tetamu kehormat.
BioClean Kit dibangunkan sebagai modul pengajaran Biologi Tingkatan 5 bagi membantu pelajar memahami konsep bioremediasi melalui pengalaman pembelajaran secara amali.
Menerusi kit itu, mikroorganisma diperangkap dalam manik alginat dan digunakan dalam simulasi rawatan air tercemar, membolehkan pelajar memerhatikan perubahan warna serta memahami bagaimana mikroorganisma boleh dimanfaatkan dalam pemulihan persekitaran tercemar.
Kit berkenaan turut dilengkapi bahan eksperimen, buku aktiviti, panduan guru dan video demonstrasi melalui kod QR bagi memudahkan pelaksanaan aktiviti pembelajaran di sekolah.
Menurut Dr. Nurul Hidayah, pengiktirafan tersebut menjadi dorongan untuk terus membawa pengetahuan daripada penyelidikan ke dalam pengalaman pembelajaran yang lebih dekat dengan pelajar.
“Melalui BioClean Kit, saya berharap pelajar dapat meneroka konsep bioremediasi secara amali, sekali gus memupuk minat terhadap STEM, pemikiran saintifik dan kesedaran tentang kelestarian alam sekitar,” katanya.
BioClean Kit dibangunkan dengan bantuan teknikal Siti Sara Ramlan, pelajar sarjana di bawah penyeliaan beliau. Penggunaan modul itu di sekolah kini masih dalam peringkat perancangan dengan usaha meneroka kerjasama bersama sekolah menengah di Selangor.
Dalam bidang penyelidikan pula, geran MTSF yang diterima akan digunakan untuk mengkaji potensi aktinobakteria dalam menyingkirkan Remazol Brilliant Blue R (RBBR), sejenis pewarna sintetik yang digunakan dalam industri tekstil dan batik.
Struktur kimia pewarna berkenaan yang kompleks dan stabil menyebabkan ia sukar diuraikan secara semula jadi, sekali gus menjadi antara cabaran dalam rawatan air sisa industri.
Kajian tersebut akan memberi tumpuan kepada dua mekanisme penyingkiran pewarna iaitu biodegradasi dan biosorpsi bagi memahami bagaimana aktinobakteria berpotensi digunakan sebagai pendekatan biologi dalam rawatan air tercemar.
Teknik kromatografi cecair-spektrometri jisim akan digunakan untuk mengenal pasti sebatian yang terhasil selepas penguraian pewarna, manakala analisis spektroskopi inframerah transformasi Fourier pula membantu meneliti interaksi pewarna dengan permukaan sel mikroorganisma.
Penyelidikan yang dijadualkan berlangsung dari Januari hingga Disember 2027 itu akan melibatkan ujian menggunakan larutan pewarna di makmal serta sampel sebenar air sisa industri tekstil.
Dapatan kajian diharapkan dapat menyediakan asas saintifik bagi pembangunan kaedah rawatan air sisa yang lebih berkesan dan mesra alam.
Penyelidikan berkenaan turut melibatkan Dr. Nurul Shamsinah Mohd Suhami dari Pusat Pengajian Sains, Universiti Malaya sebagai penyelidik bersama serta Muhammad Akmal Arif Rizalmy, pelajar sarjana UiTM di bawah penyeliaan Dr. Nurul Hidayah.
Daripada pembangunan kit pembelajaran untuk pelajar sekolah hingga penerokaan mikroorganisma bagi merawat air sisa industri, dua pengiktirafan MTSF itu memperlihatkan bagaimana penyelidikan asas dapat diterjemahkan kepada pendidikan dan penyelesaian terhadap cabaran alam sekitar.


Leave a Reply