Home / Penyelidikan / UMPSA ungguli inovasi sosial KIK menerusi inkubator telur pintar

UMPSA ungguli inovasi sosial KIK menerusi inkubator telur pintar

oleh Naqiah Puaad

PEKAN– Inovasi sistem inkubator telur pintar 2nd GEN Intelligent Eco-Friendly IoT Egg Incubator (i-ECOBATOR) membolehkan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) meningkatkan kecekapan proses penetasan telur menerusi kawalan persekitaran secara automatik dan pemantauan berasaskan Internet of Things (IoT).

Inovasi Kumpulan Savior dari Pusat Pembangunan dan Pengurusan Harta (PPPH) UMPSA itu turut dinobatkan sebagai johan Kategori Inovasi Sosial (Penambahbaikan) pada Konvensyen Horizon Baharu Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) Peringkat Universiti Awam Kali Ke-18 yang berlangsung di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), baru-baru ini.

Ketua Kumpulan Savior Ts. Haji Mohd Nurul Akla Mohd Azlan berkata pembangunan i-ECOBATOR tercetus daripada masalah dalam proses penetasan secara konvensional, antaranya ketidakstabilan suhu dan kelembapan, keperluan pemantauan berterusan serta proses pemutaran telur secara manual.

“Bagi mengatasi cabaran ini, pasukan Savior membangunkan i-ECOBATOR dengan mengintegrasikan teknologi IoT dan sistem automasi yang membolehkan proses penetasan dipantau dengan lebih mudah serta efisien,” katanya.

Beliau berkata antara ciri utama sistem itu ialah kawalan suhu dan kelembapan automatik, pemutaran telur secara automatik, pemantauan 24 jam, Smart Candling, Smart Hatch Surveillance serta sistem notifikasi pintar.

Menurutnya, teknologi Smart Candling membolehkan perkembangan telur diperiksa dengan lebih cekap berbanding kaedah konvensional, manakala sistem IoT membolehkan pengguna memantau keadaan inkubator menerusi peranti pintar.

“Sistem ini turut memberikan notifikasi sekiranya berlaku perubahan suhu dan kelembapan, gangguan bekalan elektrik atau proses penetasan sedang berlaku,” katanya.

i-ECOBATOR mempunyai kapasiti sehingga 300 biji telur bagi setiap kitaran dan disasarkan mencapai kadar penetasan sehingga 90 peratus, selain mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja serta pemantauan manual.

Mohd Nurul Akla berkata inovasi berkenaan berpotensi dimanfaatkan penternak kecil, komuniti dan agensi berkaitan dalam meningkatkan kecekapan proses pembiakan unggas, selain menyokong usaha keterjaminan makanan dan penerapan teknologi pintar dalam sektor penternakan.

Sementara itu, Naib Canselor UMPSA Prof Ts Dr Yatimah Alias berkata kejayaan itu membuktikan keupayaan warga universiti menghasilkan penyelesaian berasaskan masalah sebenar yang memberi nilai tambah kepada organisasi dan berpotensi diperluaskan kepada komuniti serta industri.

Beliau berkata kemenangan itu juga selari dengan Pelan Strategik UMPSA 2026-2030 bertemakan “Teknologi untuk Masyarakat”, khususnya dalam memperkasa penyelidikan, inovasi dan kreativiti yang berorientasikan impak.

Konvensyen yang berlangsung 4 hingga 6 Ogos lepas itu menghimpunkan 53 kumpulan dari universiti awam seluruh negara.

UMPSA menyertai pertandingan berkenaan menerusi enam kumpulan inovasi iaitu KIKEE, Savior, EurekaX, Remake Creative (RMC), FistXpert dan FasTech.

Photo credit dan sumber Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA)

Editor Kampuskini.my avatar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *