oleh Editorial KampusKini
KOTA BHARU – Universiti Malaysia Kelantan (UMK) meneroka kerjasama strategik dengan Boon Group (Malaysia) Sdn. Bhd. bagi mempercepat transformasi digital universiti menerusi pembangunan ekosistem pendidikan tinggi yang lebih pintar, tangkas dan berteraskan data.
Naib Canselor UMK, Prof Datuk Dr Arham Abdullah berkata perbincangan bersama syarikat berkenaan meliputi pembangunan platform integrasi data universiti, pengurusan dan tadbir urus data, analitis lanjutan serta kecerdasan buatan (AI).
“Transformasi digital universiti bukan sekadar soal teknologi. Ia adalah tentang membina keupayaan institusi membuat keputusan berasaskan data, meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan dan menyediakan pengalaman pendidikan yang lebih relevan kepada mahasiswa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata kerjasama turut berpotensi merangkumi pembangunan ekosistem digital dan kampus pintar, selain pembangunan bakat serta pengukuhan hubungan antara industri dan universiti.
Menurutnya, penggabungan kepakaran akademik, kekuatan industri, data dan teknologi secara strategik mampu membantu UMK membina kampus yang lebih pintar, di samping melahirkan bakat yang bersedia menghadapi ekonomi digital dan Revolusi Industri 4.0.
“UMK sentiasa terbuka untuk membina jaringan strategik bersama industri yang mampu membawa nilai tambah kepada universiti, mahasiswa dan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata usaha itu selari dengan aspirasi UMK sebagai Universiti Keusahawanan yang responsif terhadap perubahan teknologi dan keperluan dunia industri.
Photo credit dan sumber: Facebook rasmi Universiti Malaysia Kelantan (UMK)


Leave a Reply