oleh DotFaizal
XINNING, China – Universiti Geomatika Malaysia (UGM) meneroka potensi kerjasama strategik dengan Xinning County Traditional Chinese Medicine Hospital, Shaoyang, China dalam bidang pendidikan, penyelidikan, perubatan tradisional dan pembangunan kepakaran.
Usaha itu direalisasikan menerusi lawatan kerja delegasi UGM ke hospital berkenaan yang diketuai Naib Canselor UGM Prof Datuk Ts Dr Mazrin Rohizaq Che Rose, baru-baru ini.
Lawatan berkenaan memberi peluang kepada delegasi UGM meninjau kemudahan serta operasi hospital selain mendapatkan pendedahan mengenai pendekatan Traditional Chinese Medicine (TCM) yang diamalkan di institusi berkenaan.
Pertemuan antara kedua-dua pihak turut membincangkan peluang memperluas kerjasama akademik dan profesional, termasuk dalam bidang kesihatan, perubatan tradisional, penyelidikan serta pembangunan sumber manusia.
Mazrin Rohizaq berkata pengembangan jaringan antarabangsa penting bagi memperkukuh kedudukan institusi pendidikan tinggi, selain memberi peluang kepada warga universiti memperoleh pengalaman dan pendedahan dalam persekitaran global.
Beliau berkata hubungan strategik dengan institusi di China juga berpotensi membuka ruang kepada perkongsian kepakaran dan ilmu yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.
Lawatan itu diharap menjadi langkah awal kepada kerjasama yang lebih tersusun antara UGM dan institusi berkaitan di China, selaras dengan usaha universiti memperluas jaringan akademik serta strategiknya di peringkat antarabangsa.


Leave a Reply