oleh Al Faizal Abdul Hajis
MELAKA– Universiti Geomatika Malaysia (UGM) Melaka memperkenalkan dua program diploma baharu di bawah Fakulti Pertahanan Dan Pengajian Keselamatan (FDSS) bagi memenuhi keperluan tenaga kerja berkemahiran dalam sektor keselamatan, penguatkuasaan, kastam, logistik dan pengangkutan.
Dua program berkenaan ialah Diploma Keselamatan Awam serta Diploma Kastam dan Logistik Pengangkutan yang menggabungkan pembelajaran akademik dengan pendedahan praktikal selaras dengan keperluan semasa industri.
Naib Canselor UGM Prof. Datuk Is. Dr. Mazrin Rohizaq Che Rose berkata penawaran program berkenaan mencerminkan komitmen universiti menyediakan pendidikan yang relevan dengan keperluan industri serta menyokong pembangunan modal insan negara.
“Dalam bidang keselamatan, penguatkuasaan, kastam dan logistik, kita memerlukan tenaga kerja yang bukan sahaja mempunyai kelayakan akademik, tetapi turut memiliki kompetensi, disiplin, integriti dan kefahaman yang kukuh terhadap bidang yang diceburi,” katanya.
Beliau berkata UGM akan terus memberi penekanan kepada pembangunan graduan berpengetahuan, berkemahiran dan berintegriti yang mampu menyumbang kepada organisasi, masyarakat dan negara.
Sementara itu, Pengurus FDSS Al Faizal Abdul Hajis berkata pihak fakulti bersedia memberikan penerangan berkaitan program, syarat kemasukan dan proses pendaftaran kepada calon serta ibu bapa.
“Fakulti komited memastikan calon mendapat maklumat yang tepat sebelum membuat pilihan pengajian dan kami mengalu-alukan mereka yang berminat dalam bidang keselamatan, penguatkuasaan, kastam serta logistik dan pengangkutan,” katanya.
Pendaftaran bagi kedua-dua program kini dibuka kepada calon yang memenuhi syarat kemasukan, termasuk lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Calon yang berminat boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai syarat kemasukan, struktur pengajian, yuran dan proses pendaftaran daripada FDSS, UGM Melaka menerusi e-mel fdss@geomatika.edu.my.
Photo credit dan sumber: Universiti Geomatika Malaysia (UGM) Melaka


Leave a Reply