oleh Hairul Reazuan Asmayadi
SHAH ALAM– Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyeru kira-kira 85,000 mahasiswa Universiti Teknologi MARA (UiTM) supaya “memerdekakan akal”, menguasai kepakaran dan berkhidmat dengan amanah dalam mendepani cabaran teknologi serta ledakan maklumat.
Beliau berkata kebebasan berfikir perlu berasaskan ilmu dan bukti, khususnya ketika mahasiswa berhadapan dengan lambakan maklumat yang tersebar pantas menerusi media sosial dan dipengaruhi algoritma digital.
“Cepat itu belum tentu tepat. Mahasiswa perlu membudayakan prinsip tabayyun dengan menyemak sumber, memahami konteks dan menilai bukti sebelum menerima atau menyebarkan sesuatu maklumat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Wacana Semarak Patriotisme: Seminar Ilmuwan Islam Malaysia 2026 di Dewan Agung Tuanku Canselor UiTM di sini, baru-baru ini.
Program anjuran Yayasan Ilmuwan Islam Malaysia dengan kerjasama UiTM itu menghimpunkan kira-kira 5,000 mahasiswa secara bersemuka, manakala lebih 80,000 mengikuti program berkenaan secara dalam talian dari seluruh kampus UiTM.
Ahmad Zahid turut menggesa mahasiswa membina kepakaran merentas disiplin dan menguasai teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan (AI), selain mencabar UiTM meneroka bidang teknologi kuantum sebagai persediaan menghadapi perkembangan ilmu dan ekonomi masa hadapan.
Sementara itu, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir berkata tradisi universiti ialah tradisi ilmu yang bukan sahaja membentuk manusia berpengetahuan, tetapi turut membina akhlak, adab dan rasa tanggungjawab.
Beliau berkata mahasiswa perlu membina tiga keupayaan utama iaitu sebagai pencari ilmu, penyelesai masalah dan pembina negara selaras dengan peranan pendidikan tinggi dalam melahirkan generasi yang mampu menangani cabaran masyarakat dan negara.
Sementara itu, Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Ts. Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin berkata tema “Pewaris Amanah Bangsa, Penggerak Masa Depan Negara” bertepatan dengan peranan UiTM dalam melahirkan generasi berilmu, berakhlak dan berkeupayaan memimpin.
“Patriotisme bukan sekadar rasa cinta kepada tanah air, tetapi turut dizahirkan melalui kesungguhan menuntut ilmu, memelihara amanah dan menggunakan kepakaran untuk memberi manfaat kepada masyarakat dan negara,” katanya.
Beliau berkata UiTM turut memperkukuh pembangunan mahasiswa menerusi empat agenda utama iaitu TVET UiTM Dihatiku, UTAMA PLUS UiTM AI Certified, pemerkasaan Institut Pemikiran dan Kepimpinan Melayu (IMPAK) serta pembangunan keusahawanan Bumiputera.
Seminar berkenaan turut menampilkan sesi ucaptama, syarahan, dialog dan diskusi yang membincangkan amanah bangsa, kepimpinan mahasiswa, kepakaran serta cabaran generasi masa hadapan.
Mengakhiri amanatnya, Ahmad Zahid menitipkan tiga pegangan kepada mahasiswa iaitu “merdekakan akal, kuasai kepakaran dan berkhidmat dengan amanah” sebagai asas membentuk generasi yang mampu menterjemahkan ilmu kepada peluang pekerjaan, pendapatan dan sumbangan kepada negara.
Turut hadir Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Dr. Haji Ahmad Maslan; Pengerusi Yayasan Ilmuwan Islam Malaysia Datuk Dusuki Ahmad; Pengerusi Lembaga Pengarah UiTM Tan Sri Datuk Sri Haji Mohd Khamil Jamil; serta Pengerusi MARA Datuk Wira Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.


Leave a Reply