oleh Editorial KampusKini
KUALA TERENGGANU – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) berpotensi memperluas kerjasama akademik dan penyelidikan dengan Romania menerusi hubungan yang dibina hasil kunjungan hormat Duta Romania ke Malaysia, Her Excellency Mrs. Nineta Bărbulescu, ke universiti itu.
Naib Canselor UMT, Prof Dr. Suriyani Muhamad berkata kunjungan berkenaan membuka ruang kepada kerjasama lebih luas meliputi pembangunan pendidikan, jaringan akademik, pertukaran kepakaran, pembangunan kemahiran serta penyelidikan dan perkongsian budaya.
Beliau berkata syarahan umum yang disampaikan Bărbulescu turut mengetengahkan kepentingan memelihara keamanan dan kestabilan dunia melalui pendidikan, persefahaman serta kerjasama antara masyarakat.
Menurutnya, perkongsian itu bukan sahaja memberi pendedahan kepada warga universiti mengenai budaya, warisan dan bahasa Romania, malah mengukuhkan pemahaman tentang peranan pendidikan dalam membina hubungan antara masyarakat antarabangsa.
Beliau turut menyifatkan minat duta berkenaan terhadap seni tradisional Terengganu, khususnya Ulek Mayang, serta masyarakat Orang Asli Semaq Beri sebagai peluang untuk memperkenalkan warisan dan pengetahuan tempatan kepada masyarakat antarabangsa.
Katanya, hubungan antara universiti dengan perwakilan diplomatik tidak seharusnya terhad kepada kunjungan rasmi, sebaliknya boleh menjadi pemangkin kepada kerjasama yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.
Beliau berharap kunjungan itu menjadi langkah awal ke arah hubungan lebih erat antara UMT dengan Romania, sekali gus membuka lebih banyak peluang kepada warga universiti untuk meneroka jaringan dan pengalaman di peringkat antarabangsa.
Photo credit dan sumber: Facebook rasmi Naib Canselor UMT


Leave a Reply