oleh Editorial KampusKini
BENDANG SIAM– Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC) memperluas akses komuniti kepada pendidikan dan kemahiran teknikal menerusi Program Kembara KAMBEST 2026 yang berlangsung di Bendang Siam, baru-baru ini.
Program anjuran Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) dengan pengelolaan Kolej Komuniti Bagan Serai itu bertujuan mendekatkan kepakaran Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kepada masyarakat, khususnya dalam bidang kemahiran dan keusahawanan yang berpotensi menjana pendapatan.
Program dengan kerjasama POLYCC Zon Perak dan Pejabat Kewangan Negeri Perak itu turut merangkumi pelbagai aktiviti pendidikan, kemahiran, sukan, kebudayaan dan khidmat masyarakat.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Negeri Perak Datuk Khairudin Abu Hanipah yang merasmikan majlis penutupan program berharap kerjasama antara POLYCC dengan komuniti Bendang Siam dapat diteruskan menerusi pelbagai inisiatif yang memberikan impak jangka panjang.
Beliau turut menegaskan kepentingan kerjasama berterusan antara institusi pendidikan dengan masyarakat dalam bidang pendidikan, kemahiran, keusahawanan, pembangunan belia dan kesejahteraan komuniti.
Selain memberi manfaat kepada penduduk setempat, program itu turut menyediakan peluang pembelajaran di luar kampus kepada pelajar dan warga POLYCC untuk mengaplikasikan pengetahuan serta meningkatkan kemahiran komunikasi, kepimpinan dan kerja berpasukan melalui interaksi secara langsung dengan masyarakat.
Turut hadir Pengarah Politeknik Ungku Omar Dr Hajah Salmi Che Meh yang mewakili Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Penghulu Tertinggi Daerah Larut, Matang dan Selama Ahmad Jais Rofiee yang mewakili Pegawai Daerah, serta Pengerusi Jawatankuasa Kampung Angkat MADANI Bendang Siam Ts. Haji Meor M. Sharifuddin Meor Shukri.
Photo credit dan sumber: Facebook rasmi POLYCC


Leave a Reply