oleh Mohd Rizal Azman Rifin
MUADZAM SHAH– Sekolah Kebangsaan Muadzam Jaya (SKMJ) terus memperkukuh kecemerlangan dalam bidang kokurikulum apabila dua muridnya mendominasi pertandingan deklamasi sajak sempena program Ambang Merdeka peringkat Muadzam Shah, baru-baru ini.
Murid Tahun Enam Khayla Dalil Mohd Faizal Azlan muncul juara pertandingan kategori murid sekolah, manakala murid Tahun Empat Muhammad Faqeh Zayyan Muhammad Faizal meraih naib juara.
Pencapaian itu menyaksikan SKMJ menguasai dua daripada tiga kedudukan teratas pertandingan yang hadiahnya disampaikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muadzam, Dato’ Ir. Razali Kassim yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang.
Guru Besar SKMJ Haslizan Hassan berkata kejayaan tersebut membuktikan kecemerlangan sesebuah sekolah tidak seharusnya diukur berdasarkan pencapaian akademik semata-mata, sebaliknya turut merangkumi pembentukan sahsiah dan pengembangan bakat murid.
Beliau berkata pihak sekolah sentiasa memberi ruang kepada murid untuk mengembangkan potensi dalam pelbagai bidang termasuk sukan, kepimpinan, bahas, pantun, nasyid dan deklamasi sajak.
“Alhamdulillah, saya berbangga dengan kesungguhan seluruh warga sekolah, khususnya guru-guru yang begitu komited membimbing murid untuk mencapai kecemerlangan dalam aktiviti kokurikulum,” katanya.
Sementara itu, Guru Penolong Kanan Pentadbiran SKMJ Ustaz Muhammad Farid Wajdie Mohamed Faridul Atrash berkata penglibatan murid dalam aktiviti kokurikulum, khususnya bidang kesenian, mampu membentuk karakter selain menjadi platform untuk mereka mengetengahkan bakat.
Beliau berkata penglibatan aktif murid telah membolehkan SKMJ mencatat pencapaian dalam pelbagai pertandingan di peringkat sekolah, daerah dan kebangsaan.
“Penglibatan aktif dalam kokurikulum merupakan nilai tambah yang sangat bermanfaat dalam membentuk karakter murid, sekali gus membuka ruang dan peluang untuk mereka menampilkan bakat masing-masing,” katanya.
Guru pembimbing deklamasi sajak SKMJ, Hj. Ruhisham Haron pula melahirkan kesyukuran atas kejayaan Khayla Dalil dan Muhammad Faqeh Zayyan, yang disifatkannya sebagai pencetus semangat kepada murid lain untuk berani menyerlahkan bakat.
Beliau berkata kejayaan itu membuktikan murid SKMJ juga mampu bersaing dalam bidang kesenian yang sebelum ini lebih banyak didominasi sekolah lain.
“Saya optimis masih ramai murid sekolah ini yang mampu berdiri di hadapan khalayak untuk menyampaikan sajak. Bakat terpendam boleh diketengahkan sekiranya guru mengambil pendekatan yang sesuai dan membantu murid membina keyakinan diri,” katanya.
Beliau berharap pencapaian berkenaan menjadi pemangkin kepada usaha melahirkan lebih ramai murid yang berkebolehan dalam bidang seni persembahan, khususnya deklamasi sajak.
Kejayaan itu sekali gus mengukuhkan pendekatan SKMJ yang memberi penekanan seimbang terhadap akademik, kokurikulum dan pembentukan sahsiah bagi melahirkan murid yang mempunyai ilmu, keyakinan diri serta bakat yang dapat dikembangkan ke peringkat lebih tinggi.


Leave a Reply