oleh Bazli Razak
TANJONG MALIM – Kira-kira 845 penyertaan daripada sekolah rendah, sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi diterima bagi Program Perak Metamorphosis of Young STEMers (PMOYST) 2026, sekali gus mencerminkan minat yang semakin berkembang dalam kalangan generasi muda terhadap bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).
Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Dr. Raja Nor Safinas Raja Harun berkata sambutan menggalakkan itu membuktikan kepentingan menyediakan platform yang mampu mencungkil, mengembangkan dan meraikan bakat generasi muda dalam bidang berkenaan.
Beliau berkata pendidikan STEM perlu dipupuk sejak peringkat awal bagi melahirkan generasi yang bukan sahaja memahami ilmu sains, malah berupaya mengaplikasikan pengetahuan tersebut untuk menghasilkan penyelesaian terhadap permasalahan dunia sebenar.
“Dalam landskap dunia yang berkembang pesat, dipacu kecerdasan buatan (AI), transformasi digital dan teknologi baharu, pendidikan STEM bukan lagi satu pilihan, sebaliknya satu keperluan asas.
“Kita bukan sekadar mahu melahirkan pelajar yang memahami sains, tetapi generasi yang mampu menggunakan ilmu sains untuk membawa perubahan,” katanya ketika berucap merasmikan PMOYST 2026 bersempena STEM Discovery on Wheels @ Yayasan MR. D.I.Y. di Dewan SITC Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI, semalam.
Menurut Raja Nor Safinas, Penganjuran PMOYST tahun ini turut mencatat sejarah menerusi kerjasama strategik sulung bersama Yayasan MR. D.I.Y. yang memberikan tajaan penuh bagi menjayakan program berkenaan.
“Kerjasama itu membolehkan PMOYST 2026 dilengkapi lapan jenis kit STEM khusus yang memberi peluang kepada peserta menjalani pembelajaran secara praktikal melalui aktiviti penerokaan, eksperimen dan penghasilan prototaip.
Beliau berkata program yang diperkenalkan sejak 2011 menerusi Fakulti Sains dan Matematik UPSI itu terus berkembang sebagai inisiatif penting dalam meningkatkan kesedaran STEM, memperkukuh literasi saintifik serta mencungkil bakat muda melalui pengalaman pembelajaran di luar bilik darjah konvensional.
“Kerjasama ini merupakan contoh penting bagaimana universiti dan organisasi korporat dapat berganding bahu mewujudkan peluang pendidikan bermakna serta menyumbang kepada pembangunan bakat masa depan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan MR. D.I.Y., Dr. Zaleha Mohd Mydin berkata kerjasama sulung bersama UPSI menerusi PMOYST 2026 merupakan peluang bermakna untuk memperluas akses pembelajaran STEM secara praktikal kepada golongan pelajar.
Beliau berkata penggunaan lapan jenis kit STEM yang disediakan yayasan itu membolehkan peserta bukan sahaja mempelajari konsep sains dan teknologi, malah membina, menguji, mengubah suai serta meneroka idea menerusi pengalaman pembelajaran secara langsung.
“Kit STEM ini mungkin menjadi titik permulaan, namun hasil yang dibangunkan peserta membawa makna lebih besar kerana mencerminkan imaginasi, kerjasama, ketekunan dan kesediaan mereka untuk belajar daripada kegagalan,” katanya.
Bagi keputusan pertandingan, Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Sri Damansara 3 muncul juara kategori sekolah rendah menerusi projek Automatic Zotero Client Key, manakala kategori sekolah menengah dimenangi Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Parit menerusi inovasi kreatif SOL-X.
Kategori institusi pengajian tinggi awam (IPTA) pula dimenangi Kolej Vokasional Batu Lanchang menerusi inovasi Eco-Smart Autonomous Ecosystem (E-SAE).


Leave a Reply