oleh Mazraihan Hilmi
JELI– Pasukan kriket Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Long terus mencatat peningkatan apabila muncul naib juara kejohanan kriket peringkat Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Kelantan (MSSK) selepas menduduki tempat keempat pada penyertaan tahun sebelumnya.
Kejohanan selama tiga hari itu berlangsung di Padang SK Labok dan Padang Sekolah Menengah Sains Machang pada Julai lalu.
Jurulatih SK Sungai Long Mohamad Azim Mohamed berkata pencapaian itu hasil latihan intensif 15 pemain yang dijalankan setiap petang dan hujung minggu sebagai persediaan menghadapi kejohanan.
“Ini merupakan tahun kedua penyertaan SK Sungai Long dan pemain menunjukkan peningkatan yang ketara. Jika pada 2024 kami berada di tempat keempat, tahun ini berjaya muncul naib juara.
“Latihan yang konsisten serta pengalaman daripada kejohanan terdahulu banyak membantu pemain meningkatkan prestasi,” katanya.
Beliau berkata pasukan itu menyasarkan untuk terus memperbaiki pencapaian pada kejohanan akan datang, sekali gus merealisasikan hasrat Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Jeli untuk melihat wakil daerah berkenaan bergelar juara.
Sementara itu, Guru Besar SK Sungai Long Zulkifli Jusoh berkata pihak sekolah memberi peluang kepada murid seawal usia 10 tahun untuk mengenali dan mengembangkan bakat dalam sukan kriket.
“Kami mahu memberi peluang kepada murid untuk merasai pengalaman dan kehebatan sukan ini. Walaupun masih terlalu awal untuk menyaingi juara bertahan, usaha berterusan dan kemahuan pasti membuka jalan ke arah kejayaan,” katanya.


Leave a Reply