oleh Editorial KampusKini
KOTA BHARU– Penyertaan kali kedua dalam anugerah berkaitan budaya membaca akhirnya membuahkan hasil apabila guru Bahasa Melayu Sekolah Kebangsaan (SK) Mentera, Ahmad Safarman Dollah dinobatkan sebagai Ikon Individu Membaca Negeri Kelantan 2026.
Beliau menerima pengiktirafan itu sempena Hari Iqra’ dan Pesta Buku Darul Naim 2026 yang berlangsung di Mydin Mall Tunjong, di sini hari ini.
Ahmad Safarman berkata kejayaan itu amat bermakna kerana penyertaannya bukan semata-mata untuk mengejar kemenangan, sebaliknya sebagai usaha membuktikan budaya membaca boleh terus dipupuk tanpa mengira usia dan kesibukan.
“Ini penyertaan kali kedua selepas saya menyertainya pada 2024 dan ketika itu hanya memperoleh saguhati. Alhamdulillah, tahun ini saya tidak menyangka terpilih sebagai Ikon Individu Membaca Negeri Kelantan.
“Kejayaan ini saya anggap sebagai satu amanah untuk terus menyebarkan budaya membaca dalam kalangan masyarakat,” katanya.
Sebagai penerima anugerah, beliau membawa pulang wang tunai RM2,000, piala, sijil pengiktirafan dan bahan bacaan yang disampaikan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi negeri Dato’ Wan Roslan Wan Hamat pada majlis perasmian program berkenaan.
Ahmad Safarman, anak kelahiran Kota Bharu, memiliki Ijazah Sastera dalam bidang Bahasa dan Linguistik Melayu dari Universiti Putra Malaysia (UPM) sebelum melanjutkan pengajian Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) bidang Pengajian Melayu di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Kampus Perlis.
Selain kerjaya sebagai pendidik, beliau turut aktif dalam bidang penulisan dan menghasilkan pelbagai karya bersama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), termasuk novel kanak-kanak dan remaja.
Antara karya beliau ialah Aku Budak Gunung, Cahaya Senjakala, Jangan Patahkan Hatinya, Mengusung Rumah Lama, Empangan Kuala Kenering, Tikar Mengkuang Nenek, Purnama di Langit Pedalaman dan Mencari Jalan Pulang.
Beliau berkata pengalaman sebagai guru dan penulis mengukuhkan pandangannya bahawa membaca bukan sekadar aktiviti mengisi masa lapang, sebaliknya penting dalam membina pemikiran, memperkaya imaginasi dan membentuk sahsiah.
“Mungkin kita tidak mampu memiliki seluruh dunia tetapi dengan membaca, seluruh dunia mampu hadir dalam diri kita.
“Membaca bukan untuk kelihatan hebat di hadapan orang lain, tetapi supaya menjadi manusia yang lebih baik daripada semalam,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Kelantan (PPAK) Diana Melati Muhammad mengucapkan tahniah kepada semua penerima anugerah dan berkata pencapaian Ahmad Safarman menunjukkan budaya membaca mampu diterjemahkan kepada pemikiran, penulisan dan pembentukan peribadi yang memberi manfaat kepada masyarakat.
Hari Iqra’ dan Pesta Buku Darul Naim 2026 dianjurkan PPAK dengan kerjasama Kerajaan Negeri Kelantan dan Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur (DBPWT) sebagai usaha memperkukuh budaya membaca dalam kalangan masyarakat.


Leave a Reply