Oleh Zaidi Mohd Ramlee
Ayer Panas – Seramai 15 orang murid dari Sekolah Kebangsaan (SK) Basia Lama telah menyertai Kem Kenaikan Pangkat Koperal Tunas Kadet Remaja Sekolah (TKRS) Daerah Hulu Perak Tahun 2026 yang berlangsung selama dua hari bermula 12 hingga 13 Jun lalu di Hot Spring Ayer Panas.
Program yang dianjurkan oleh SK Ayer Panas itu menghimpunkan anggota TKRS berpangkat Lans Koperal dari sekolah-sekolah rendah seluruh daerah Hulu Perak bagi menjalani pelbagai ujian dan latihan sebagai syarat kenaikan pangkat koperal.
Kem tersebut bertujuan mengenal pasti serta mengiktiraf kemahiran dan pengetahuan kadet yang menyertai program berkenaan selain memberi penghargaan kepada peserta yang layak menerima kenaikan pangkat. Di samping itu, program tersebut turut memberi peluang kepada peserta menilai kebolehan diri sebagai pemimpin di peringkat sekolah, daerah dan negeri.
Sepanjang perkhemahan, para peserta menjalani beberapa buah stesen pengujian meliputi kawad kaki, bantu mula, ikatan dan simpulan, pembinaan gajet, kerohanian serta kecergasan fizikal. Aktiviti yang dijalankan bukan sahaja menguji kemahiran teknikal kadet, malah membentuk disiplin, semangat kerjasama dan keyakinan diri.
Guru penasihat SK Basia Lama, Zaidi Mohd Ramlee berkata, penyertaan murid dalam program seperti ini dapat meningkatkan pengalaman serta kemahiran kepimpinan yang diperlukan dalam pasukan beruniform.
“Melalui aktiviti luar bilik darjah seperti ini, murid dapat memupuk sikap berdikari, berani membuat keputusan dan bekerjasama dalam kumpulan. Pengalaman yang diperoleh akan membantu mereka menjadi pemimpin yang lebih berwibawa pada masa hadapan,” katanya.
Selain itu, kem berkenaan turut membantu murid mengumpul markah Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) di samping memperkukuhkan imej TKRS sebagai pasukan badan beruniform yang menyumbang kepada kemenjadian murid.
Majlis penutupan kem diadakan pada hari kedua selepas semua peserta selesai menjalani ujian yang ditetapkan. Program berakhir dengan penyampaian sijil dan pengiktirafan kepada peserta yang berjaya memenuhi syarat kenaikan pangkat.
Pihak sekolah berharap pengalaman yang diperoleh murid SK Basia Lama sepanjang kem tersebut dapat dimanfaatkan untuk membimbing rakan-rakan lain serta terus mengharumkan nama sekolah dalam aktiviti kokurikulum pada masa akan datang.


Leave a Reply