oleh Mohd Rizal Azman Rifin
MUADZAM SHAH – Murid Orang Asli Sekolah Kebangsaan Bukit Serok (SKBS), Nur Askyra Faziela Asriza, muncul juara kategori Perempuan Sekolah Rendah pada Kejohanan Terbuka Sukan Orienteering Asrama Harian Peringkat Kebangsaan 2026 di Tanah Rata, Cameron Highlands, baru-baru ini.
Murid Tahun Enam itu mewakili Pahang dalam kejohanan yang berlangsung pada 12 dan 13 Sept berkenaan, sekali gus melakar pencapaian sulung SKBS meraih gelaran juara dalam pertandingan sukan di peringkat kebangsaan.
Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid SKBS Ustaz Muhamad Safri Ibrahim berkata kejayaan Nur Askyra membuktikan murid sekolah luar bandar, termasuk daripada komuniti Orang Asli, turut mampu mencapai kecemerlangan di pentas kebangsaan.
“Pencapaian ini amat bermakna kerana inilah kali pertama murid SKBS menggenggam gelaran juara di peringkat kebangsaan.
“Semoga kejayaan ini menjadi pencetus semangat kepada murid lain untuk berani mencuba dan tidak mudah menganggap diri mereka kurang berbanding peserta dari sekolah lain,” katanya.
Beliau berkata pihak sekolah sentiasa menggalakkan murid melibatkan diri dalam pelbagai bidang termasuk akademik dan sukan menerusi slogan SKBS – Sekolah Kita Bukan Sembarangan.
Sementara itu, Nur Askyra berkata kejayaan berkenaan bukan sahaja mengharumkan nama sekolah, malah daerah dan negeri Pahang.
“Pada awalnya saya berasa rendah diri apabila perlu bersaing dengan peserta dari negeri lain, tetapi saya cuba berusaha bersungguh-sungguh dan membina keyakinan bahawa saya juga mampu berjaya,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada guru yang sentiasa memberikan sokongan dan dorongan kepada murid untuk mencuba dalam pelbagai bidang.
Nur Askyra yang bercita-cita menjadi jurutera berharap pencapaiannya dapat menjadi inspirasi kepada lebih ramai murid SKBS untuk berani menyertai pertandingan dan mengejar kejayaan.


Leave a Reply