Home / Sukan / Kejohanan Olahraga Tahunan SK Chepor, Lenggong Bangkitkan Semangat Kesukanan

Kejohanan Olahraga Tahunan SK Chepor, Lenggong Bangkitkan Semangat Kesukanan

Guru dan murid bergambar sebagai kenangan semasa kejohanan olahraga tahuhan SK Chepor, Lenggong Perak

Oleh Ahmad Safarman Dollah

Lenggong – Suasana Padang Sekolah Kebangsaan (SK) Chepor, Lenggong Perak bertukar meriah apabila Kejohanan Sukan Olahraga Tahunan kali ke-46 berlangsung dengan penuh semangat kesukanan dan keterujaan.

Program tahunan anjuran Unit Kokurikulum sekolah ini menjadi antara acara paling dinanti-nantikan, bukan sahaja oleh murid malah turut mendapat sokongan padu daripada guru, ibu bapa serta komuniti setempat.

Kejohanan ini melibatkan penyertaan menyeluruh seramai 47 orang murid daripada prasekolah hingga Tahun 6, selain 16 orang guru dan Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP), 4 pekerja swasta serta 16 ahli Jawatankuasa PIBG, belia dan beliawanis kampung.

Penglibatan menyeluruh ini jelas mencerminkan semangat kebersamaan dalam menjayakan agenda pembangunan murid secara holistik.

Majlis dimulakan seawal jam 7.40 pagi dengan ketibaan ibu bapa dan tetamu jemputan yang mengambil tempat di khemah utama. Suasana bertambah gamat dengan perbarisan masuk kontinjen rumah sukan yang penuh warna-warni dan berdisiplin.

Acara diteruskan dengan nyanyian lagu Negaraku, lagu negeri Perak serta lagu sekolah yang dinyanyikan dengan penuh semangat oleh para murid.

Detik kemuncak perasmian disempurnakan oleh Timbalan Pengarah Pendidikan, Jabatan Pendidikan Negeri Perak, Fadhilah Hawary.

Dalam ucapannya, beliau memuji usaha pihak sekolah yang terus komited melahirkan murid aktif dan seimbang dari segi akademik serta kokurikulum.

“Program seperti ini bukan sekadar pertandingan, tetapi medan pembentukan jati diri, disiplin dan semangat juang dalam kalangan murid,” katanya ketika merasmikan kejohanan tersebut.

Majlis turut diserikan dengan bacaan ikrar kejohanan oleh murid Tahun 6, serta bacaan doa yang mengiringi kelancaran program. Gimik perasmian yang menarik turut mencuri tumpuan apabila VVIP bersama Guru Besar SK Chepor dan Yang Dipertua PIBG melakukan simbolik pelancaran kejohanan.

Sejurus selepas perbarisan keluar, pelbagai acara sukan dipertandingkan termasuk acara larian 70 meter, 100 meter lelaki dan perempuan bagi tahap satu dan dua serta sukaneka prasekolah. Sorakan penonton yang terdiri daripada ibu bapa dan warga sekolah menambahkan lagi semangat para peserta.

Menurut Guru Besar SK Chepor, Mohd Azwan Darus, kejohanan ini menjadi platform penting dalam mengenal pasti bakat baharu murid untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.

“Pelajar yang menunjukkan potensi akan dipilih untuk mewakili sekolah ke Kejohanan Olahraga MSSD Zon Lenggong. Ini adalah usaha berterusan sekolah dalam melahirkan atlet muda yang berdaya saing,” jelas beliau.

Sementara itu, Penyelaras Sukan, Muhammad Shammin Izwan Abdullah berkata, kejohanan ini bukan sahaja memberi fokus kepada pertandingan, tetapi juga mengeratkan hubungan antara murid, guru dan ibu bapa melalui penglibatan aktiviti bersama seperti tarik tali terbuka dan acara ibu bapa.

Acara kemuncak seperti 4×100 meter, sukaneka tahap satu serta tarik tali terbuka menjadi tumpuan utama sebelum majlis penutup berlangsung sekitar jam 11.00 pagi. Majlis kemudian diteruskan dengan penyampaian hadiah kepada para pemenang yang berjaya mengharumkan nama rumah sukan masing-masing.

Lebih menarik, kejohanan kali ini turut menyaksikan perasmian Tapak Pusat Mini Tenpin Boling SK Chepor yang disempurnakan oleh VVIP bersama Guru Besar dan YDP PIBG.

Boling merupakan kebitaraan sekolah. Kemudahan ini diharap dapat memberi nilai tambah kepada aktiviti sukan sekolah pada masa hadapan.

Dengan anggaran perbelanjaan sebanyak RM1,310 yang diperoleh melalui Sukan Tahunan Sekolah (STS), Bantuan Sukan Sekolah (BSS), PIBG serta sumbangan lain, kejohanan ini berjaya dilaksanakan dengan lancar dan teratur.

Secara keseluruhannya, Kejohanan Olahraga Tahunan SK Chepor kali ke-46 ini bukan sahaja berjaya mencungkil bakat sukan murid, malah turut menyemai semangat perpaduan, disiplin dan kesukanan yang tinggi dalam kalangan warga sekolah.

Program ini diharapkan terus menjadi platform kecemerlangan murid pada masa akan datang.

Photo credit dan sumber: Sekolah Kebangsaan (SK) Chepor

Editor Kampuskini.my avatar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *