oleh Editorial KampusKini
MUADZAM SHAH– Seramai 125 pelajar Jabatan Pelancongan dan Hospitaliti (JPH), Politeknik Muadzam Shah (PMS), Pahang memperoleh pengalaman mengurus acara sebenar menerusi penganjuran Muadzam Merdeka Night Run sempena sambutan Ambang Merdeka peringkat Muadzam Shah.
Program yang disertai 284 peserta itu memberi peluang kepada pelajar semester empat Diploma Pengurusan Pelancongan mengaplikasikan ilmu pengurusan acara yang dipelajari di bilik kuliah dalam situasi sebenar.
Pensyarah JPH, Suriyati Nordin berkata penganjuran program itu bertujuan memberikan pendedahan kepada pelajar mengenai prosedur dan tatakelola pengurusan acara, selain membiasakan mereka berdepan cabaran sebenar di lapangan.
“Tujuan utama kami mengadakan program ini adalah untuk memberikan pengalaman sebenar berkenaan pengurusan acara kepada para pelajar semester empat Diploma Pengurusan Pelancongan.
“Pengalaman di lapangan sebenar begitu penting agar pelajar mampu menyerap cabaran semasa mengendalikan sesuatu program dan memahami setiap prosedur serta tatakelola penganjuran acara,” katanya.
Beliau berkata program berkenaan turut bertujuan menyemarakkan sambutan Ambang Merdeka di Muadzam Shah, selain mengeratkan hubungan antara komuniti setempat.
Muadzam Merdeka Night Run dianjurkan dengan kerjasama Koperasi Otai Masih Berbisa (KOMBI) serta Pejabat ADUN Muadzam Shah, Majlis Daerah Rompin, Jabatan Belia dan Sukan, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (RELA), Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Hospital Muadzam Shah.
Pengarah PMS Haji Ismail Haji Samsudin melepaskan peserta larian yang bermula pada 9.30 malam di Dataran Muadzam Shah.
Sementara itu, Timbalan Pengarah PMS (Sokongan Akademik) Luqman Nur Hakim Juwara berkata penganjuran program seumpama itu memberi ruang kepada pelajar memperoleh pembelajaran secara langsung melalui pengalaman mengurus program dan bekerjasama dengan komuniti.
“Inilah pembelajaran yang kita mahu lihat. Bukan sekadar teori di dalam kelas semata-mata, tetapi mengutip pengalaman sebenar mengurus sesuatu program, bekerjasama dengan komuniti dan pada masa sama menyemarakkan semangat patriotisme terhadap tanah air,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Program, Nurul Afiqah Aini Azmi berkata pengalaman mengendalikan acara itu memberi pendedahan berharga kepada dirinya dan rakan-rakan yang terlibat, khususnya dalam mengurus program berskala lebih besar.
“Ini julung kali saya dan rakan-rakan dapat melalui pengalaman di lapangan sebenar yang sebelum ini hanya teori diberikan kepada kami di dalam kuliah,” katanya.
Ketua JPH Nur Fadilah Mat Ariffin pula berharap program bersama komuniti itu dapat dijadikan acara tahunan bagi memperkukuh hubungan PMS dengan masyarakat setempat, selain memberi lebih banyak peluang kepada pelajar memperoleh pengalaman lapangan.
Program yang turut dihadiri EXCO Kerajaan Negeri Pahang merangkap ADUN Muadzam Shah Dato’ Ir Razali Kasim itu dibimbing pensyarah JPH Suriyati Nordin, Nabila Farhana Mohamad Isa, Noor Jalilah Abdul Jalil, Anal Sabrie Muda Ramli Muuuohamed dan Muhammad Nasuha Yussop.


Leave a Reply