oleh Editorial KampusKini
SERDANG – Pasukan olahraga Universiti Putra Malaysia (UPM) muncul Johan Keseluruhan Kejohanan Varsity Track and Field (VTF) Grand Final 2026 selepas mengumpul 45 pingat termasuk 20 emas, 18 perak dan tujuh gangsa.
Kejayaan itu turut diserikan dengan pencapaian atlet UPM yang memecahkan tujuh rekod kejohanan dalam beberapa acara pada edisi Grand Final berkenaan.
Tujuh rekod itu dicatat menerusi Muhammad Fiross Mohd Faizal dalam acara dekatlon, Andre Anura Anuar (lompat jauh lelaki), Sadat Marzuqi Ajisan (tukul besi lelaki) dan Kamal Farhan A. Rahman (lempar cakera lelaki).
Turut mencipta rekod ialah Nurkhaleesa Yasmin dalam acara lompat jauh wanita, pasukan 4×400 meter lelaki serta Nur Shaqirah Cik Mat Kilau dalam acara 100 meter lari berpagar wanita.
Timbalan Pengarah Pengembangan Atlet dan Staf, Akademi Sukan UPM, Muhamad Malik Ahmad Tobias berkata kejayaan berkenaan hasil persediaan berterusan pasukan sejak penyertaan dalam siri VTF sebelum Grand Final.
“Latihan berterusan dijalankan sejak VTF 1 dan beberapa siri kejohanan turut disertai bagi memantau serta menilai prestasi atlet sebelum menghadapi Grand Final,” katanya.
Beliau berkata kebajikan atlet turut diberi perhatian bagi memastikan mereka berada dalam keadaan selesa dan dapat memberikan komitmen sepenuhnya sepanjang tempoh latihan serta pertandingan.
Mengulas perancangan selepas kejayaan itu, beliau berkata Akademi Sukan UPM akan mengadakan bengkel hala tuju 2027 selain merancang kem bina semangat bagi memperkukuh semangat berpasukan dalam kalangan atlet.
“Pada masa sama, proses pencarian bakat akan diperkasakan bagi mengenal pasti bakat baharu yang berpotensi menggantikan atlet sedia ada yang bakal bergraduasi,” katanya.
Photo credit dan sumber: Facebook rasmi Universiti Putra Malaysia (UPM)


Leave a Reply