oleh Editorial KampusKini
KULIM – Kehilangan kedua-dua ibu bapa tidak mematahkan semangat Muhammad Adam Iskandar Azharunaim untuk melanjutkan pengajian ke Universiti Sains Malaysia (USM), sebaliknya menjadi pembakar semangat untuk mengubah nasib keluarganya.
Adam, 18, yang bakal mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Sejarah) dengan Kepujian di Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan USM, kehilangan bapanya akibat jangkitan COVID-19 pada 2021 sebelum ibunya meninggal dunia baru-baru ini akibat kanser otak.
Sebagai anak sulung daripada empat beradik, Adam kini memikul tanggungjawab memastikan kebajikan adik-adiknya yang masih bersekolah terus terpelihara, termasuk adik bongsunya yang merupakan orang kurang upaya (OKU) fizikal dan memerlukan penjagaan khusus.
Kisah ketabahan Adam turut mendapat perhatian USM apabila beliau dikenal pasti antara pelajar yang berpotensi menerima Biasiswa Siswa Sulung USM bagi membantu meneruskan pengajian di peringkat universiti.
Naib Canselor USM Prof Datuk Seri Ir Dr Abdul Rahman Mohamed bersama Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni) Profesor Dr Wan Ahmad Jaafar Wan Yahaya turut mengunjungi kediaman Adam di sini sebagai tanda keprihatinan universiti terhadap kebajikan pelajar dan keluarganya.
Rahman berkata USM sentiasa memberi perhatian terhadap kesejahteraan pelajar, khususnya mereka yang berdepan cabaran kehidupan ketika memulakan pengajian.
Beliau turut mencadangkan Adam dan ahli keluarganya menjalani saringan kesihatan di Pusat Kesihatan Tunku Abdul Rahman (PKTAAB) sebagai langkah pencegahan dan penjagaan kesihatan.
“Sekiranya terdapat keperluan rawatan susulan, USM bersedia memberikan bantuan dan sokongan sewajarnya,” katanya.
Sementara itu, Adam berkata sokongan dan bantuan yang diterima daripada USM menguatkan semangatnya untuk meneruskan pengajian meskipun terpaksa melalui kehidupan tanpa kedua-dua ibu bapa.
“Saya amat berterima kasih kepada pihak USM atas kunjungan dan biasiswa yang disampaikan ini.
“Walaupun tanpa kehadiran ibu bapa di sisi, saya tetap bertekad untuk menjejakkan kaki ke menara gading demi mengubah nasib keluarga,” katanya ketika ditemui di kediamannya.
Adam berkata semangat untuk meneruskan pengajian turut didorong oleh keinginannya menunaikan harapan dan pengorbanan arwah ibu bapanya.
Beliau kini berazam memanfaatkan peluang pendidikan yang diterima sebaik mungkin, selain terus membantu memastikan masa depan tiga adiknya terbela.
Photo credit dan sumber: Facebook rasmi Universiti Sains Malaysia (USM)


Leave a Reply