Home / Mahasiswa / Usia 82 tahun bukan penghalang Abdul Ghani genggam PhD

Usia 82 tahun bukan penghalang Abdul Ghani genggam PhD

oleh Editorial KampusKini

BACHOK– Usia 82 tahun bukan penghalang bagi Dr Abdul Ghani Muhammad untuk merealisasikan impian melanjutkan pengajian ke peringkat tertinggi apabila berjaya memperoleh Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Tasawuf dan Tarekat daripada Universiti Malaysia Kelantan (UMK), hari ini.

Bapa kepada sembilan anak dan datuk kepada 35 cucu itu menerima skrol PhD daripada Fakulti Pengajian Bahasa dan Insan (FBI) pada Istiadat Konvokesyen UMK Ke-16, sekali gus menjadi antara 189 graduan yang diraikan dalam sidang pertama.

Abdul Ghani yang berasal dari Bukit Marak, Kota Bharu, Kelantan, menamatkan pengajian selama empat tahun sejak 2022, meskipun berdepan pelbagai cabaran termasuk masalah kesihatan, faktor usia dan komitmen akademik.

Sepanjang pengajian, beliau berdepan masalah tekanan darah tinggi, prostat dan saraf, selain menjalani dua pembedahan mata serta mengalami kemerosotan ingatan akibat faktor usia.

Beliau berkata keputusan menyambung pengajian ke peringkat PhD dibuat bagi merealisasikan impian sejak muda untuk melanjutkan pelajaran hingga ke tahap tertinggi, yang sebelum ini terpaksa ditangguhkan atas faktor kewangan dan tanggungjawab keluarga.

“Saya terpaksa melupakan hasrat itu kerana faktor kewangan dan berkeluarga. Saya hanya berpeluang menyambung pengajian selepas sembilan anak sudah besar dan berkeluarga, selain bersara sebagai guru agama,” katanya.

Abdul Ghani mempunyai latar belakang pendidikan dalam bidang pengajian Islam dan bahasa Arab, termasuk Ijazah Sarjana Muda Bahasa Arab dan Tamadun Islam dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) serta Ijazah Sarjana Perbandingan Warisan dari Universiti Islam Malaysia (UIM), Cyberjaya.

Beliau turut memiliki Sijil Tertinggi dan Diploma Pendidikan dari Kolej Islam Malaya, Petaling Jaya serta kelulusan IV Thanawi dari Maahad Muhammadi, Kota Bharu.

Sepanjang kerjaya, beliau berkhidmat lebih 31 tahun sebagai guru Pendidikan Islam di sekolah menengah kerajaan sebelum turut berkhidmat sebagai Pegawai Penerangan (Pengelola) di Jabatan Hal Ehwal Khas, Kementerian Penerangan Malaysia.

Selain bidang pendidikan, beliau aktif dalam penulisan dan penterjemahan karya Islam klasik atau kitab turath menerusi Jabal Maraqy Sdn Bhd, syarikat yang diasaskannya.

Antara karya yang diterjemah dan disusun daripada bahasa Arab ke bahasa Melayu termasuk Minyatul Musolli, Ta’lim al-Muta’allim, Hidayah as-Salikin dan Penawar Hati, selain karya dalam bidang akidah, fiqh, tasawuf, nahu dan saraf.

Sumbangan beliau dalam bidang penulisan, penterjemahan dan pemeliharaan khazanah ilmu Islam turut menerima pengiktirafan menerusi Anugerah Buku (Kluster Warisan) dan Anugerah Presiden daripada UIM.

Istiadat konvokesyen itu disempurnakan Pro-Canselor UMK, Tengku Mahkota Kelantan, Yang Teramat Mulia Tengku Muhammad Fakhry Petra Ibni Almarhum Sultan Ismail Petra.

Detik bersejarah itu turut disaksikan kira-kira 20 ahli keluarga Abdul Ghani yang hadir memberikan sokongan pada majlis berkenaan.

Photo credit dan sumber: Facebook rasmi Universiti Malaysia Kelantan (UMK)

Editor Kampuskini.my avatar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Trending

🕌
Waktu Solat
Malaysia

Wilayah Persekutuan — Kuala Lumpur & Putrajaya


Imsak

05:38


Subuh

05:48


Syuruk

06:56


Zohor

13:00


Asar

16:21


Maghrib

18:58


Isyak

20:10

Sumber: e-Solat JAKIM