oleh Muhamad Asril Hakimi Ibrahim
KUALA LUMPUR – Dua mahasiswa University College Bestari (UCB), Setiu, Terengganu, merupakan sebahagian daripada pasukan yang meraih tempat ketiga dalam Pertandingan Cabaran Eksplorasi Gerakan Pengguna Siswa (GPS) Peringkat Kebangsaan 2026, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000.
Mereka ialah Yang Dipertua GPS UCB, Muhammad Faris Adhwa Ahmad, dan ahli GPS UCB, Nazimuddin Mustaqiem Billah Abdullah, yang bergandingan dengan peserta daripada beberapa institusi pendidikan lain dalam satu pasukan.
Pasukan itu menghimpunkan peserta daripada Universiti Malaysia Sabah (UMS) Kampus Antarabangsa Labuan, SMK F6 Labuan, institusi politeknik di Sarawak serta UNITAR di Sarawak.
Pertandingan itu berlangsung dari 19 hingga 21 Okt di sekitar Kuala Lumpur, bersempena Majlis Perdana Gerakan Pengguna Siswa (MPGPS) Peringkat Kebangsaan 2026 anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
MPGPS merupakan platform tahunan yang menghimpunkan wakil GPS daripada institusi pengajian di seluruh negara bagi memperkukuh jaringan kerjasama serta meningkatkan peranan mahasiswa dalam menyebarluaskan pendidikan kepenggunaan.
Penyertaan dalam cabaran itu turut memberi peluang kepada mahasiswa membina kemahiran komunikasi, semangat berpasukan dan keupayaan bekerjasama dengan peserta daripada latar belakang institusi berbeza.
Kejayaan itu diharap dapat menggalakkan lebih ramai mahasiswa UCB menyertai aktiviti kepimpinan dan pendidikan kepenggunaan, selain meningkatkan kesedaran mengenai hak serta tanggungjawab pengguna dalam kehidupan seharian.


Leave a Reply