oleh Editorial KampusKini
MELAKA – Mahasiswa Universiti Geomatika Malaysia (UGM) Melaka diberi pendedahan mengenai operasi penghantaran barangan, urusan kastam dan sektor logistik menerusi program Bicara Industri bersama Presiden Federation of Malaysian Freight Forwarders (FMFF) Datuk Dr. Tony Chia Han Teun.
Program anjuran Fakulti Pertahanan dan Pengajian Keselamatan (FDSS) itu bertujuan merapatkan jurang antara pembelajaran akademik dengan keperluan sebenar industri, khususnya dalam bidang logistik dan rantaian bekalan.
Menerusi sesi bertemakan “Dari Bilik Kuliah ke Dunia Industri: Memahami Operasi Penghantaran, Kastam dan Logistik serta Persediaan Kerjaya”, Tony berkongsi pengalaman profesional serta pengetahuan berkaitan operasi dan amalan dalam sektor berkenaan.
Perkongsian itu turut memberi gambaran kepada mahasiswa mengenai peluang kerjaya, kemahiran praktikal dan persediaan yang diperlukan untuk memenuhi keperluan pasaran pekerjaan.
Program yang berlangsung dari 10.15 pagi hingga 11.45 pagi di Dewan Kuliah UGM Melaka itu turut menyediakan ruang kepada mahasiswa mengemukakan soalan serta mendapatkan penjelasan secara langsung daripada tokoh industri berkenaan.
Sesi diakhiri dengan penyampaian plak penghargaan kepada pembicara dan sesi fotografi bersama peserta.
Penganjuran Bicara Industri merupakan antara pendekatan FDSS dalam memperkaya pengalaman pembelajaran mahasiswa melalui perkongsian bersama pengamal industri, sekali gus membantu mereka memahami aplikasi ilmu akademik dalam persekitaran pekerjaan sebenar.


Leave a Reply