oleh Fairus Muhamad Darus
PUTRAJAYA – Seramai 22 mahasiswa Fakulti Sains Gunaan (FSG), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam menyertai program kesedaran peringkat kebangsaan bagi mendalami ancaman kerintangan antimikrob (AMR) yang semakin membimbangkan kesihatan awam dan kelestarian alam sekitar.
Pendedahan itu diperoleh menerusi Majlis Pelancaran Sambutan Minggu Kesedaran Kerintangan Antimikrob Sedunia (WAAW) 2026 Peringkat Kebangsaan di Auditorium Kompleks E di sini pada 3 November lalu.
Kerintangan antimikrob berlaku apabila mikroorganisma seperti bakteria, virus, kulat dan parasit tidak lagi bertindak balas terhadap ubat yang digunakan untuk merawat jangkitan, sekali gus menyukarkan rawatan serta meningkatkan risiko komplikasi dan kematian.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan sebanyak 11,416 kes jangkitan berkaitan penjagaan kesihatan melibatkan mikroorganisma rintang pelbagai ubat direkodkan sepanjang 2025, dengan 223 kematian.
Majlis yang disempurnakan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad itu mengangkat tema “One Health, One Action: Prevent AMR Now” yang menekankan kepentingan kerjasama antara sektor kesihatan manusia, haiwan, pertanian dan alam sekitar dalam membendung ancaman berkenaan.
Menerusi perkongsian Dr. Azlihanis Abdul Hadi daripada KKM, mahasiswa didedahkan kepada kepentingan tindakan bersepadu dalam menangani AMR, manakala Dr. Nur Indah Ahmad daripada Fakulti Perubatan Veterinar, Universiti Putra Malaysia (UPM) menjelaskan hubungan antara penggunaan ubat antimikrob, mikroorganisma dan keseimbangan ekosistem.
Aspek pencemaran alam sekitar turut diketengahkan apabila residu ubat antimikrob dan mikroorganisma rintang ubat berpotensi memasuki sungai serta sumber air melalui pelepasan air sisa.
Perkara itu turut dipaparkan menerusi pameran penyelidikan Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) berkaitan kerintangan antimikrob dalam persekitaran akuatik.
Selain perkongsian saintifik, mahasiswa berpeluang mengikuti forum “Stories That Matter: Voices of AMR Survivors” yang mengetengahkan pengalaman pesakit dan petugas kesihatan berhubung cabaran rawatan jangkitan mikroorganisma rintang ubat.
Program turut diserikan dengan pameran, permainan interaktif dan kuiz bagi meningkatkan pemahaman peserta mengenai penggunaan ubat secara berhemah serta kaedah pelupusan ubat yang selamat.
Penyertaan mahasiswa yang diiringi Dr. Muhd Hanis Md Idris dan Dr. Iffa Farahin itu diharap dapat meningkatkan kefahaman mereka mengenai isu AMR, sekali gus membolehkan maklumat tepat berkaitan ancaman berkenaan disampaikan kepada masyarakat.


Leave a Reply