oleh Editorial KampusKini
KLANG – FeMaC TVET Competition 2026 (FTC2026) menjadi platform mencungkil bakat dan memperkasa kemahiran pelajar serta tenaga pengajar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), khususnya dalam bidang elektronik.
Pertandingan anjuran Persekutuan Pusat Bertauliah JPK Malaysia (FeMaC) dengan kerjasama Kolej Teknologi Bestari dan Micro Tech TVET College (MTTC) itu berlangsung di MTTC di sini, baru-baru ini.
FTC2026 memberi tumpuan kepada keupayaan peserta mengaplikasikan pengetahuan teknikal, menyelesaikan masalah serta menghasilkan penyelesaian kreatif menerusi penggunaan teknologi elektronik, termasuk mikropengawal dan papan litar elektronik.
Penganjur berkata pertandingan berkenaan bukan sekadar medan persaingan kemahiran, malah berperanan mengenal pasti dan mengetengahkan bakat TVET yang berpotensi memenuhi keperluan industri elektronik dan teknologi pada masa hadapan.
“FTC2026 memberi peluang kepada peserta mempraktikkan pengetahuan dan kemahiran teknikal dalam situasi sebenar, di samping membina kreativiti, ketelitian, keupayaan menyelesaikan masalah dan daya inovasi,” menurut FeMaC dalam kenyataan.
Pertandingan itu mempertandingkan dua kategori iaitu Pelajar dan Pengajar, dengan masing-masing menyaksikan tiga pemenang utama.
Bagi kategori Pelajar, Muhamad Afif Afshar Jaafar dari Stradford International College muncul Johan, diikuti Qaisy Khaizer Ghazi Mohd Khairi dari Kolej Teknologi Bestari di tempat kedua dan Mohamad Zulhilmi Elyasak dari Stradford International College di tempat ketiga.
Kategori Pengajar pula dimenangi Mohamad Refie Seeni Mydin dari Kolej Teknologi Bestari, manakala Muhammad Iman Abd Rashid dan Muhammad Ezam Nasarrudin dari Micro Tech TVET College masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga.
Ketua Juri FTC2026 Lt. CDR Ts. Mohd Zulhilmi Jamaluddin mengetuai panel penilai yang turut terdiri daripada penggubal Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (NOSS), Ali Kassim dan Pengarah JP Global Engineering Ts. Jegan Perumal.
FeMaC berkata kepelbagaian latar belakang panel juri daripada aspek teknologi digital, pembangunan standard kompetensi pekerjaan serta pengalaman teknikal dan industri dapat memastikan penilaian peserta dilaksanakan secara menyeluruh dan berasaskan kompetensi.
Naib Presiden 1 FeMaC, Mohd Zikri Dato’ Mohd Zaihan, menyempurnakan majlis penutupan FTC2026 dan menyampaikan penghargaan kepada peserta, panel juri, penganjur serta pihak yang terlibat dalam menjayakan pertandingan itu.
Menurut FeMaC, penganjuran FTC2026 turut memperkukuh kerjasama antara institusi latihan kemahiran, pusat bertauliah Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), tenaga pengajar dan industri dalam usaha melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi, inovatif serta bersedia menghadapi perubahan teknologi.


Leave a Reply