Home / Sekolah / Caturmatik bantu tingkat minat, kehadiran murid Orang Asli SK Buluh Nipis

Caturmatik bantu tingkat minat, kehadiran murid Orang Asli SK Buluh Nipis

Guru Besar SeKeBuN Cikgu Mohd Rozi Bahari (dua dari kiri) bersama Ustaz Wan Harun Pengetua SMKA Pahang (2 dari kanan) menandatangai persefahaman Jaringan Kerjasama Ilmu pengkhususan Caturmatik

oleh Mohd Rizal Azman Rifin

MUADZAM SHAH– Inovasi pembelajaran berasaskan permainan catur, Caturmatik, membantu meningkatkan minat murid terhadap pembelajaran Matematik serta kehadiran ke sekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Buluh Nipis, sebuah sekolah luar bandar yang 100 peratus muridnya terdiri daripada Orang Asli.

Guru SK Buluh Nipis Safri A. Razak berkata Caturmatik mula dibangunkan pada 2018 sebagai pendekatan pembelajaran yang menggabungkan permainan catur dengan elemen Matematik bagi menjadikan proses pembelajaran lebih menarik dan interaktif.

“Alhamdulillah, usaha ini diterima dengan baik oleh guru dan murid. Lebih membanggakan, kadar kehadiran murid ke sekolah menunjukkan perkembangan yang sangat positif,” katanya.

Menurut Safri, idea membangunkan Caturmatik tercetus daripada usaha mencari pendekatan baharu untuk menarik minat murid hadir ke sekolah dan pada masa sama membantu mereka memahami Matematik menerusi kaedah pembelajaran sambil bermain.

Beliau berkata inovasi itu kini turut diperluaskan ke mata pelajaran Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris, selain Matematik, dan sesuai digunakan murid sekolah rendah serta pelajar Tingkatan Satu hingga Tiga.

“Caturmatik bukan hanya untuk murid Orang Asli, tetapi sesuai untuk semua murid. Kami juga telah dijemput memperkenalkannya di beberapa sekolah di Selangor, Terengganu dan Kelantan,” katanya.

Safri berkata Caturmatik turut mencatat kejayaan dalam beberapa pertandingan inovasi pendidikan di peringkat daerah Rompin dan negeri Pahang, sekali gus menjadi pemangkin untuk terus menambah baik kaedah pembelajaran berkenaan.

Sementara itu, Guru Besar SK Buluh Nipis Mohd Rozi Bahari berkata inovasi berkenaan mampu menggalakkan murid berfikir dan menjadikan pembelajaran lebih menyeronokkan menerusi konsep belajar sambil bermain.

Beliau berkata penerimaan positif terhadap Caturmatik turut membuka peluang kepada pihak sekolah menjalinkan kerjasama dengan sekolah lain, termasuk Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Pahang, Muadzam Shah yang telah mengadakan sesi pengenalan inovasi berkenaan sebelum memeterai surat Jaringan Kerjasama Ilmu.

Editor Kampuskini.my avatar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Trending

🕌
Waktu Solat
Malaysia

Wilayah Persekutuan — Kuala Lumpur & Putrajaya


Imsak

05:39


Subuh

05:49


Syuruk

06:56


Zohor

13:00


Asar

16:19


Maghrib

18:59


Isyak

20:10

Sumber: e-Solat JAKIM