KUALA LUMPUR– Penentusahan Universiti Malaya Quality Excellence Index (UMQEI) oleh SIRIM QAS International memperkukuh kedudukan Universiti Malaya (UM) dalam membangunkan pendekatan pengurusan kualiti institusi yang lebih tersusun, berasaskan keperluan dan aspirasi universiti itu sendiri.
Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UM Prof Dr Hasniza Zaman Huri berkata UMQEI bukan sekadar berfungsi sebagai instrumen penilaian, sebaliknya membantu universiti mengenal pasti kekuatan, jurang dan ruang penambahbaikan di setiap Pusat Tanggungjawab (PTj).
“Dapatan penilaian seterusnya diterjemahkan kepada tindakan yang mempunyai tanggungjawab, tempoh pelaksanaan dan hasil yang jelas, membolehkan penambahbaikan dilaksanakan dan dipantau secara sistematik.
“Pendekatan ini mencerminkan keupayaan UM untuk mengurus dan mengawal kualiti institusi melalui mekanisme yang dibangunkan sendiri, dengan penelitian bebas oleh SIRIM sebagai badan luar,” katanya.
Beliau berkata pendekatan berkenaan membuktikan autonomi institusi boleh bergerak seiring dengan akauntabiliti dan jaminan kualiti, sekali gus memastikan standard serta kecemerlangan universiti terus dipelihara.
Penentusahan yang berlangsung pada 19 hingga 21 Ogos itu merupakan langkah penting dalam memastikan instrumen yang dibangunkan Universiti Malaya berkenaan dapat digunakan secara berkesan bagi mengukur tahap kecemerlangan pengurusan kualiti di seluruh universiti.
UMQEI yang dibangunkan serta diselaraskan Jabatan Pengurusan dan Penambahbaikan Kualiti (QMED) dinilai dari aspek keberkesanan kaedah penilaian, pengukuran proses teras, penambahbaikan berterusan, kawalan dokumentasi dan rekod serta jaminan kualiti akademik.
UMQEI dibangunkan sebagai evolusi kepada sistem pengurusan kualiti UM yang sebelum ini menggunakan pensijilan ISO 9001 selama lebih 20 tahun, iaitu dari 2002 hingga 2023.
Peralihan itu membolehkan UM menggunakan mekanisme pengurusan kualiti yang lebih khusus kepada konteks institusi, di samping memberi penekanan kepada pengukuran prestasi, tindakan penambahbaikan serta hasil yang boleh dipantau.
Inisiatif tersebut turut mencatat pengiktirafan menerusi Malaysia Book of Records (MBOR) pada 2026 apabila UM diiktiraf sebagai universiti pertama di Malaysia yang melaksanakan penilaian kualiti pengurusan berasaskan indeks komprehensif.
Dalam usaha memastikan pendekatan itu terus berkembang, UM kini turut memperkukuh pelaksanaannya menerusi Universiti Malaya Quality Excellence Framework (UMQEF) serta pemurnian UMQEI 2.0.
Langkah berkenaan bertujuan memastikan pengurusan kualiti universiti kekal relevan dan responsif, selain memberi penekanan lebih jelas terhadap hasil serta impak yang dihasilkan.
Penentusahan oleh SIRIM itu turut menjadi pencapaian penting buat UM kerana ia merupakan penentusahan pertama di Malaysia bagi instrumen kualiti yang dibangunkan sendiri oleh institusi pendidikan tinggi negara.
Photo credit: MalaysiaGazette


Leave a Reply