Home / Sekolah / 24 murid Kelantan sertai bengkel pelajari Tarian Zapin Sarawak

24 murid Kelantan sertai bengkel pelajari Tarian Zapin Sarawak

Oleh Ahmad Safarman Dollah

KOTA BHARU– Seramai 24 murid daripada beberapa sekolah sekitar Kelantan menyertai Bengkel Tarian Zapin Sarawak di Ezla Studio Wameza di sini bagi mengenali dan mempelajari seni tari tradisional berkenaan.

Bengkel yang berlangsung selama dua jam pada hujung minggu itu memberi peluang kepada peserta berusia enam tahun hingga peringkat sekolah menengah mempelajari teknik serta langkah asas tarian berkenaan dengan bimbingan dua jurulatih berpengalaman.

Peserta terdiri daripada murid yang baharu berjinak-jinak dengan seni tarian serta mereka yang mempunyai pengalaman dalam bidang berkenaan. Latihan secara praktikal dilaksanakan secara berperingkat mengikut tahap penguasaan masing-masing.

Peserta, Ahmad Fahim Wafiyyuddin Ahmad Safarman, 11, dari Sekolah Kebangsaan (SK) Mentera, berkata bengkel itu merupakan pengalaman pertamanya mempelajari Tarian Zapin Sarawak.

“Ini kali pertama saya menyertai bengkel seperti ini. Pada mulanya agak sukar untuk mengikuti langkahnya, tetapi saya gembira kerana dapat belajar tarian baharu dan mendapat pengalaman,” katanya.

Seorang lagi peserta, Akif Hairil dari SK Banggu, berkata beliau gembira berpeluang menyertai bengkel itu selepas dipelawa oleh gurunya, selain dapat mempelajari tarian berkenaan bersama rakan baharu.

Selain menguasai teknik dan langkah asas, bengkel itu turut memberi peluang kepada peserta meningkatkan keyakinan diri serta kemahiran persembahan yang boleh dimanfaatkan dalam aktiviti kebudayaan di sekolah masing-masing.

Ilmu yang diperoleh juga boleh dikongsi dengan rakan-rakan di sekolah, sekali gus membantu persediaan mereka menyertai pertandingan dan persembahan seni pada masa akan datang.

Penglibatan ibu bapa yang menemani anak-anak sepanjang sesi latihan turut menyokong kelancaran program, selain membuka ruang kepada mereka berkenalan dan bertukar pengalaman dengan keluarga peserta lain.

Penganjuran bengkel pada hujung minggu membolehkan murid mengikuti aktiviti seni dan kebudayaan tanpa mengganggu jadual persekolahan, manakala penganjur berharap program seumpama itu dapat diteruskan secara berkala bagi memupuk minat generasi muda terhadap seni tarian tradisional.

Editor Kampuskini.my avatar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Trending

🕌
Waktu Solat
Malaysia

Wilayah Persekutuan — Kuala Lumpur & Putrajaya


Imsak

05:39


Subuh

05:49


Syuruk

06:59


Zohor

13:01


Asar

16:23


Maghrib

18:59


Isyak

20:12

Sumber: e-Solat JAKIM