oleh Editorial KampusKini
TANJONG MALIM– Seramai 10 peserta menamatkan Kursus Pensijilan Profesional AI Certification for Executive Decision Support & Digital Leadership anjuran Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) bagi meningkatkan kemahiran penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam tugasan pentadbiran dan kepimpinan digital.
Kursus anjuran Fakulti Komputeran dan Meta-Teknologi (FKMT) UPSI itu dilaksanakan menerusi pendekatan micro-credentials dengan 40 jam pembelajaran bersamaan satu jam kredit.
Pengarah Akademik dan Antarabangsa, Pejabat Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UPSI Prof Madya Dr. Mohd Asri Mohd Noor berkata peserta dinilai berdasarkan hasil kerja sebenar menerusi projek yang menyumbang 80 peratus markah dan pembentangan sebanyak 20 peratus.
Beliau berkata teknologi AI berpotensi membantu penjawat awam mempercepat pelbagai tugasan rutin seperti penyediaan surat dan laporan rasmi, meringkaskan dokumen, menganalisis data program serta menghasilkan bahan pembentangan.
“Tugasan yang dahulu mengambil masa berjam-jam kini boleh disiapkan dengan lebih cepat. Masa yang dijimatkan boleh digunakan untuk turun padang dan berkhidmat kepada masyarakat,” katanya pada majlis penyampaian sijil di Makmal HONOR, Perpustakaan Tuanku Bainun, UPSI, baru-baru ini.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan peserta supaya memastikan setiap hasil yang dijana AI disemak sebelum digunakan, khususnya bagi mengelakkan risiko berkaitan ketepatan maklumat dan keselamatan data.
“Semak setiap hasil yang dijana oleh AI sebelum digunakan. Keputusan akhir tetap di tangan tuan dan puan,” katanya.
Sementara itu, Pengarah KEMAS Negeri Sarawak Taufiq Mohamad Yusof yang turut menyertai kursus berkenaan berkata pendedahan itu meningkatkan pemahamannya terhadap kepentingan tadbir urus, etika, kedaulatan AI dan perlindungan data dalam penggunaan teknologi berkenaan.
Beliau berkata prinsip human in the loop atau penglibatan manusia dalam proses penggunaan AI penting bagi memastikan keputusan akhir kekal di bawah kawalan pegawai yang bertanggungjawab.
Kursus itu merangkumi 10 modul yang dikendalikan 10 pensyarah FKMT, antaranya kejuruteraan prompt, penulisan profesional, analisis data, automasi aliran kerja serta tadbir urus dan etika AI.
FKMT turut membuka penyertaan kursus berkenaan kepada individu, institusi pendidikan, jabatan kerajaan, agensi awam dan organisasi swasta yang ingin meningkatkan keupayaan tenaga kerja dalam bidang AI dan kepimpinan digital.


Leave a Reply