Home / Budaya / 110 pelajar antarabangsa hayati budaya tempatan menerusi Titian Budaya

110 pelajar antarabangsa hayati budaya tempatan menerusi Titian Budaya

oleh Bazli Razak

MANJUNG – Seramai 110 pelajar antarabangsa dari 24 negara berpeluang mengenali adat, tradisi dan kehidupan masyarakat tempatan menerusi program Titian Budaya (Bakti MADANI Mega) sempena Festival Puisi dan Lagu Rakyat Antarabangsa (PULARA) 2026.

Program yang berlangsung di Kampung Telaga Nenas dan Kampung Bharu itu memberi peluang kepada pelajar berinteraksi dengan penduduk kampung, tinggal bersama keluarga angkat serta menyertai aktiviti kebudayaan dan menikmati makanan tradisional masyarakat Melayu.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir berkata keunikan PULARA ialah usaha membawa pelajar antarabangsa mendekati kehidupan masyarakat kampung bagi memahami sendiri adat dan budaya tempatan.

Beliau berkata program seperti itu membolehkan budaya berperanan sebagai jambatan yang menghubungkan masyarakat merentasi perbezaan bahasa, bangsa dan sempadan negara.

Sementara itu, Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Prof. Datuk Dr. Md Amin Md Taff berkata program berkenaan memberi pengalaman bermakna kepada pelajar antarabangsa untuk mengenali budaya dan tradisi masyarakat Malaysia secara lebih dekat melalui interaksi langsung dengan komuniti setempat.

Pada program itu, pelajar di Kampung Telaga Nenas berpeluang menyaksikan upacara tradisional berendoi, manakala peserta di Kampung Bharu diperkenalkan kepada makanan warisan seperti penjan ubi kayu dan ubi rebus bersama ikan bilis.

Pelajar turut disambut oleh penduduk kampung sebelum pulang ke rumah keluarga angkat masing-masing, sekali gus membuka ruang kepada mereka memahami kehidupan harian masyarakat tempatan dalam suasana mesra dan penuh muhibah.

Kunjungan Zambry ke kedua-dua kampung itu turut memeriahkan program yang menghimpunkan pelajar antarabangsa, keluarga angkat dan penduduk setempat menerusi aktiviti kebudayaan serta jamuan bersama.

Program Titian Budaya merupakan antara pengisian PULARA 2026 yang mengetengahkan seni, tradisi dan warisan tempatan sebagai medium memperkukuh hubungan antara budaya serta menggalakkan persefahaman dalam kalangan masyarakat antarabangsa.

Editor Kampuskini.my avatar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Trending

🕌
Waktu Solat
Malaysia

Wilayah Persekutuan — Kuala Lumpur & Putrajaya


Imsak

05:39


Subuh

05:49


Syuruk

06:56


Zohor

13:00


Asar

16:19


Maghrib

18:59


Isyak

20:10

Sumber: e-Solat JAKIM