oleh Mohd Rizal Azman Rifin
MUADZAM SHAH – Empat murid Orang Asli Sekolah Kebangsaan Muadzam Jaya (SKMJ) mengharumkan nama sekolah apabila muncul juara pertandingan nasyid Karnival Fitrah Orang Asli (KAFOA) peringkat negeri Pahang 2026 yang berlangsung di Bandar Jengka.
Kejayaan itu diraih menerusi persembahan empat murid, iaitu Annesa Nuha Aal Narrahman Abdullah, Nur Jannah Arifah Mohamad Nordin, Hannez Dahlia Habibe Emir dan Angelina Marion Rose Roslan.
Kumpulan nasyid berkenaan dibimbing oleh Ustazah Zuraidah Mohd Said dan Ustaz Fadzrol Pathil, yang membantu mempersiapkan peserta untuk bersaing dengan sekolah-sekolah yang mewakili daerah masing-masing di Pahang.
Ustaz Fadzrol berkata kejayaan mewakili daerah Rompin ke peringkat negeri sudah menjadi pencapaian membanggakan, sebelum kumpulan itu berjaya membawa pulang gelaran juara.
Beliau berkata kesungguhan, disiplin ketika menjalani latihan dan semangat untuk mengharumkan nama sekolah menjadi antara faktor yang menyumbang kepada kejayaan berkenaan.
Sementara itu, Guru Penolong Kanan Kokurikulum SKMJ, Ustaz Mohd Affandi Abu Bakar berkata kejayaan itu membanggakan seluruh warga sekolah dan diharap menjadi pendorong kepada murid lain untuk bergiat aktif dalam aktiviti kokurikulum.
Beliau berkata penglibatan dalam aktiviti berkenaan bukan sahaja membantu murid mengembangkan bakat, malah membina disiplin diri dan membentuk sahsiah terpuji.
KAFOA merupakan platform untuk mengetengahkan bakat serta potensi murid Orang Asli dalam pelbagai aktiviti kokurikulum, termasuk seni persembahan nasyid.


Leave a Reply