Oleh Ghazali Din
TANJONG MALIM- Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus membuktikan komitmennya dalam memperkukuh pembangunan insan dan budaya organisasi melalui kejayaan pembangunan Modul BITARA 2.0 sebagai produk inovasi berimpak tinggi yang berpaksikan Nilai BITARA dan konsep JIWA UPSI.
Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof Dr Suriani Abu Bakar berkata Modul BITARA 2.0 yang dibangunkan itu bukan sahaja memantapkan nilai profesionalisme organisasi sebagai modul latihan dalaman, malah merupakan satu inovasi pembangunan sumber manusia yang sistematik, berstruktur dan mempunyai kekuatan tersendiri.
“Kejayaan pelaksanaan lapan siri program yang memperkasa hampir 300 staf UPSI menjadi bukti bahawa modul ini mampu membentuk warga kerja kompeten, bernilai dan bersedia meneruskan legasi BITARA di universiti.
Beliau berkata pembangunan BITARA 2.0 memperlihatkan keupayaan UPSI menghasilkan produk yang dapat memperkukuh penghayatan Nilai BITARA dalam kalangan warga universiti yang menekankan pembentukan kekuatan watak, kesedaran kendiri, integriti, profesionalisme, semangat berpasukan, keprihatinan, kreativiti serta amalan penambahbaikan berterusan dalam pelaksanaan tugas dan penyampaian perkhidmatan.
Katanya, sebagai produk inovasi, modul ini dibangunkan berasaskan integrasi Model BITARA 2.0, Model Kekuatan Watak dan Nilai VIA, JIWA UPSI serta Model Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Kolb.
“Enam Nilai BITARA menjadi teras utama modul ini, iaitu Berintegriti, Profesional, Semangat Berpasukan, Berorientasikan Pelanggan, Prihatin Kebajikan Anggota serta Kreatif dan Inovatif yang diterjemahkan melalui petunjuk tingkah laku yang jelas supaya mudah difahami, diamalkan dan dinilai dalam pelaksanaan tugas harian warga UPSI.
Ketua Penyelidik, Prof Madya Dr Md Noor Saper berkata modul ini menggunakan aktiviti kumpulan, perbincangan, simulasi, refleksi, penyelesaian masalah serta cabaran terancang bagi membolehkan peserta mengalami sendiri situasi berkaitan amalan nilai dan menghubungkannya dengan konteks pekerjaan sebenar.
Beliau dibantu rakan penyelidik terdiri Prof. Madya Ts. Dr. Che Ghani Che Kob, Prof. Madya Dr. Nurul ‘Ain Abbas, Dr. Mohd Fadhil Harfiez Abdul Muttalib, Dr. Ahmad Amri Zainal Adnan, Dr. Pau Kee, Dr. Hasrul Hossan, Dr. Kama Shaffeei, Anis Azlira Ali, Anizan Mohd Noor, Abdul Hadi Ahmad, Muhammad Faheem Mohd Dahlan, serta Noraini Sapuan.
Sementara itu, Pendaftar UPSI, Helmi Zaifura Abdul Rahman berkata “BITARA 2.0 bukan sekadar program latihan, tetapi satu pendekatan pembangunan staf yang menterjemahkan nilai organisasi kepada amalan kerja sebenar.
“Melalui pendekatan berasaskan pengalaman dan refleksi, modul ini membantu memperkukuh profesionalisme, hubungan sesama warga serta semangat berpasukan, malah modul ini berpotensi besar menjadi instrumen pembudayaan nilai dan pembangunan warga UPSI secara berterusan.”
Katanya, lebih penting, BITARA 2.0 menyerlahkan inovasi universiti yang berpotensi tinggi untuk diketengahkan sebagai amalan terbaik dalam pembangunan insan, pemantapan budaya kerja dan kecemerlangan organisasi.
Leave a Reply